suria

Masalah Teknikal Bantut Usaha Zulfahmi Raih Mata Di San Marino

SAN MARINO: Masalah teknikal yang dihadapi ketika memasuki pusingan kedua perlumbaan menyebabkan pelumba Malaysia, Zulfahmi Khairuddin gagal menamatkan saingannya pada perlumbaan Grand Prix San Marino, di sini, Ahad.

Pelumba pasukan Air Asia-Sepang International Circuit Racing itu berhadapan dengan masalah teknikal apabila mekanik pasukan menukar piston dan selinder baru pada motosikalnya.

"Saya sangat kecewa dengan perlumbaan hari ini...begitu juga dengan perlumbaan sebelum ini. Saya tidak dapat menghabiskan perlumbaan dengan baik.

"Semalam dan pada sesi latihan hari Jumaat lepas kita sudah membuat pelarasan enjin dengan baik...semuanya berjalan dengan lancar. Sememangnya tidak disangka motosikal akan rosak," katanya ketika ditemui pemberita Malaysia di sini.

Pada perlumbaan kategori 125cc di Litar Misano itu, Zulfahmi yang sedang memasuki pusingan kedua perlumbaan, terpaksa menamatkan saingan selepas enjin motosikal beliau terhenti secara tiba-tiba.

"Saya berharap pada perlumbaan akan datang saya tidak akan menghadapi masalah yang sama. Saya juga berharap pada perlumbaan akan datang saya dapat mengutip mata bagi mengukuhkan kedudukan saya," katanya.

Zulfahmi perlu menghadapi dua lagi perlumbaan iaitu Grand Prix Aragon, Sepanyol (19 September) dan Grand Prix Jepun (3 Oktober) sebelum pulang ke Malaysia bagi menghadapi Grand Prix Malaysia pada 10 Oktober depan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat, pihak penaja, media dan rakyat Malaysia yang tidak henti memberi sokongan kepada saya selama ini," katanya.

Sementara itu rakan sepasukan beliau, Sturla Fagerhaug dari Norway juga tidak dapat menamatkan saingan.

Fagerhaug yang masih belum pulih sepenuhnya daripada jangkitan viral yang di hadapinya pada Ogos lepas, hanya ketinggalan sembilan pusingan di belakang pendahulu untuk menamatkan saingannya di Grand Prix San Marino.

Perlumbaan kategori 125cc di sini dimenangi pendahulu kutipan mata setakat ini, Marc Marquez (Sepanyol) daripada pasukan Red Bull Ajo Motorsport dengan catatan masa 39 minit 56.117 saat.

Sementara tempat kedua dimenangi Nicolas Terol (Bancaja Aspar) dengan 39:58.302s dan ketiga milik Efren Vazquez (Tuenti Racing) dengan masa 40:01.745s.

Tinggal enam pusingan lagi bagi semua pelumba untuk menamatkan saingan 125cc musim ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Beckham Turun Padang

Artikel Lain