suria

Skuad Tenpin Boling Sertai Terbuka Hong Kong Pada Hari Raya

KUALA LUMPUR: Skuad tenpin boling negara akan menyertai Kejohanan Antarabangsa Terbuka Hong Kong pada 10 hingga 19 September sebagai pemanas badan sebelum menghadapi temasya Sukan Asia di Guangzhou, China 12 hingga 27 November ini.

Pemain tenpin boling kebangsaan Zulmazran Zulkifli berkata beliau bersama rakan sepasukannya di bawah kendalian jurulatih Holloway Cheah akan berlepas ke Hong Kong Isnin ini (6 Sept) sebagai persiapan awal bertanding di sana.

"Ini mungkin merupakan penyertaan terakhir skuad tenpin boling negara sebelum ke temasya di Guangzhou nanti.

"Kejohanan itu akan diadakan di Hong Kong Bowling City yang akan disertai beberapa negara antaranya dari Singapura, Thailand, Korea, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE)," katanya.

Zulmazran berkata meskipun terpaksa menyambut hari raya di perantauan tanpa keluarga, ia tidak melemahkan semangatnya untuk menggalas cabaran dan tanggungjawab untuk negara.

Beliau berkata skuad tenpin boling negara tidak meletakkan harapan yang tinggi dalam merangkul pingat pada Sukan Asia hujung tahun ini kerana persaingan bagi acara itu amat sengit, terutama dari tenpin berkelas dunia seperti Korea, UAE dan Kuwait.

"Saya tidak berani meletakkan sasaran tetapi saya percaya kita mampu membawa pulang tiga pingat tanpa mengira warna dalam acara berpasukan dan perseorangan.

"Selain itu negara seperti Thailand dan Singapura tidak harus dipandang mudah dalam tenpin boling kerana mereka kini berada di kedudukan memberangsangkan," katanya. Sementara itu pemain tenpin boling kebangsaan wanita, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, yang merangkul kejuaraan pada Kejohonan Boling Ranking Masters Dunia di Naples, Itali tahun lepas, kini giat menjalani latihan untuk Sukan Asia di Guangzhou, China pada November.

Siti Safiyah, 20, antara pemain muda berbakat yang dilahirkan oleh Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC), berkata jika terpilih ke Guangzhou ia merupakan penampilan pertamanya ke temasya itu.

"Saya mungkin akan ke Hong Kong minggu depan dan adalah impian saya untuk beraksi dan menggalas cabaran skuad kebangsaan di Sukan Asia yang akan bermula pada 12 November itu," katanya yang belum mendapat pengesahan dripada jurulatihnya. Pada Sukan Asia 2006 di Qatar, skuad tenpin boling kebangsaan merangkul tiga pingat emas dengan dua daripadanya dimenangi dalam acara berpasukan dan perseorangan wanita. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain