suria

Genap Setahun Lotus Racing

PERLUMBAAN Grand Prix Itali di Litar Monza 12 September ini merupakan perlumbaaan Eropah terakhir dalam kalendar Kejuaraan Dunia Formula Satu (F1) 2010.

Perlumbaan pusingan ke-14 ini sekaligus memberi cabaran utama kepada pemandu utama pasukan Lotus Racing, Jarno Truli untuk menunaikan janjinya meletakkan pasukan dalam kelompok terbaik di tempat kelahirannya.

Ketua Pegawai Teknikal Lotus Racing, Mike Gascoyne berkata, Monza adalah tempat paling istimewa kepada sebahagian pegawai atasan dalam pasukan.

“Perlumbaan pada 12 September ini adalah tarikh yang sama di mana tahun lalu kami mendapat kelulusan menyertai F1. Ia satu berita yang sangat menggembirakan dan bermakna yang kini sudah menjangkau 365 hari, malah banyak lagi perkara menarik akan berlaku.

“Litar Monza mempunyai keunikan tersendiri. Untuk perlumbaan nanti, kami telah membuat keputusan untuk membuat perubahan pada jentera bagi menghadapi saingan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Trulli berkata Litar Monza adalah litar yang mempunyai kelainan kerana bukan sahaja keadaan litar tetapi sambutan yang luar biasa oleh peminat-peminat F1.

“Keadaan litar sangat mencabar tetapi tidak terlalu teknikal seperti yang lain. Ia sememangnya memerlukan kemahiran yang baik. Saya yakin dapat mengulang kembali prestasi cemerlang yang dilakukan di Litar Spa, Belgium akhir bulan lalu,” katanya.

Seorang lagi pemandu Lotus Racing, Heikki Kovalainen berkata: “Selepas beraksi di Litar Spa, keadaan saya semakin baik dari segi mental dan fizikal. Sebelum beraksi di Belgium, saya telah mendapat rehat yang cukup seterusnya kembali berlatih bagi persediaan sepanjang musim ini.

“Litar Monza adalah tempat yang terbaik dan saya gembira kerana kembali ke sini. Saya jangkakan ia bakal menjadi perlumbaan yang menarik”.

Selain itu, Pengetua Lotus Racing, Datuk Seri Tony Fernandes berkata, beliau telah melihat perlumban-perlumbaan sebelum ini dan ia amat menarik, dan pastinya saingan di Itali ini bakal menjadi tarikan.

“Beberapa minggu lepas, kita telah melihat Nabil Jeffri menajdi pelumba termuda yang mengikuti ujian pemanduan F1 dan ia sangat mebanggakan saya kerana dia telah membuktikan setiap impian akan menjadi kenyataan sekiranya ada kesungguhan.

“Seperti pada tarikh 12 September ini juga, mimpi saya telah menjadi kenyataan setelah setahun berlalu dan kami akan beraksi di litar yang terbaik dunia.

“Selepas itu perlumbaan akan kembali ke Asia dan ia akan turut menjanjikan perubahan dalam setiap langkah pasukan ini,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain