suria

Mohd Zaki, Masziyatun Olahragawan dan Olahragawati Kedah

ALOR SETAR: Pemanah Mohd Zaki Mahazar dan atlet berbasikal Masziyatun Mohd Radzi dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati kontinjen Kedah bagi Sukan Malaysia (Sukma) yang ke-13 pada Jun lalu.

Mohd Zaki dan Masziyatun yang masing-masing membawa pulang RM9,700 dan RM8,700 adalah atlet yang paling menyerlah pada kejohanan itu dengan Mohd Zaki meraih tiga pingat emas dan satu gangsa manakala Masziyatun pula memenangi tiga pingat emas dan satu perak.

Mereka antara 251 atlet Kedah yang menyumbang pingat pada Sukma 2010 yang menerima insentif masing-masing, Khamis.

Insentif wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM355,800 itu disampaikan oleh Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Bagi pemenang pingat emas acara individu, mereka menerima RM3,500, perak RM2,000 dan gangsa RM1,000. Bagi kategori berpasukan, pemenang pingat emas menerima antara RM1,100 hingga RM2,300 setiap individu, pingat perak RM500 hingga RM1,000 dan gangsa RM300 hingga RM750.

Pada temasya sukan dwi-tahunan di Melaka itu, Kedah memperoleh 39 pingat emas, 20 perak dan 31 gangsa untuk berada di tempat kelima daripada 12 pasukan yang mengambil bahagian.

Tiga pasukan yang paling cemerlang buat kontinjen Kedah adalah angkat berat yang mengumpulkan 11 emas, empat perak dan empat gangsa manakala acara berbasikal pula memungut enam emas, dua perak dan dua gangsa, dan pasukan perahu layar pula berjaya memungut tiga pingat emas, satu perak dan satu gangsa.

Selain itu, memanah menyumbangkan tiga pingat emas, wushu (2), sepak takraw (2), pencak silat (2), menembak (2), gimnastik (2), renang (2), olahraga (1), silambam (1), badminton (1) dan karate-do (1). Sementara itu, seramai 100 pegawai pasukan iaitu pengurus dan jurulatih, masing-masing mendapat RM500 seorang.

Kedah yang menyertai Sukma sejak 1986 menunjukkan peningkatan drastik apabila berjaya mengumpul 39 emas dan sekaligus meletakkan pasukan itu antara lima pasukan terbaik. Ini merupakan jumlah pingat emas yang tertinggi dicatatkan Kedah berbanding dua tahun lalu di Terengganu dengan hanya 29 pingat emas.

Terdahulu, Azizan ketika berucap pada majlis itu berkata anak syarikat kerajaan Kedah akan mengambil pasukan-pasukan yang dipilih sebagai anak angkat bagi memastikan pembangunan sukan terus dipertingkatkan.

Katanya antara syarikat yang dipilih adalah Syarikat Ladang (angkat berat), Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (boling), Seri Temin (memanah), Bina Darul Aman Berhad (berbasikal) dan Pertubuhan Kedah Berhad (wushu).

"Dengan adanya program seperti ini diharap dapat meningkatkan mutu sukan di negeri ini dan saya berharap atlet-atlet negeri ini dapat menjadi atlet terbaik kebangsaan suatu hari nanti," katanya.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain