suria

Malaysia Batal Niat Bida Sukan Asia 2019

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak bercadang untuk meneruskan hasrat membida penganjuran Sukan Asia 2019 kerana kos penganjuran temasya sukan itu melebihi RM1.6 bilion, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata keputusan tersebut diputuskan pada mesyuarat Kabinet tiga minggu lepas.

"Jemaah menteri berpendapat ketika kerajaan cuba untuk menstruktur semula pemberian subsidi dalam usaha berjimat cermat, kos penganjuran untuk Sukan Asia 2019 sebanyak RM1.6 bilion adalah terlalu besar untuk ditanggung," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau sebelum itu menghadiri majlis berbuka puasa Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sebuah hotel, di sini.

Ahmad Shabery berkata kos sebanyak RM1.6 bilion itu tidak termasuk pembinaan infrastruktur baru termasuk stadium, perkampungan sukan termasuk penginapan atlet serta penambahbaikan kemudahan sukan di negara ini.

Malaysia menerusi Kementeria Belia dan Sukan pada November tahun lepas telah menghantar dokumen surat berhasrat (LOI) kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) untuk menyatakan hasrat membida edisi ke-18 sukan itu.

Sukan Asia ke-16 akan berlangsung di Guangzhou, China dari 12 hingga 27 Okt ini sementara edisi ke-17 temasya sukan terbesar di Asia itu akan diadakan di Incheon, Korea Selatan pada 2014.

Ahmad Shabery berkata hasrat Malaysia untuk tidak meneruskan bidaan tersebut akan dinyatakan melalui surat yang dihantar kepada OCA.

Selain Malaysia, negara lain yang turut membida penganjuran Sukan Asia 2019 ialah Hong Kong, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan India.

Keputusan bagi bidaan tersebut hanya akan diketahui pada 2012.

Malaysia sebelum ini hampir menjadi tuan rumah kepada dua edisi Sukan Asia.

Qatar yang sebelum ini menafikan bidaan Malaysia, menganjurkan Sukan Asia di Doha pada 2006 dan edisi tahun ini pula diberikan kepada Guangzhou selepas mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menolak peluang penganjuran tersebut dengan alasan membabitkan kos sebanyak RM1.3 bilion. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain