suria

Kontinjen Malaysia Perlu Penilaian Akhir Sebelum Ke New Delhi

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di India diminta membuat penilaian akhir mengenai tahap keselamatan dan kesihatan di New Delhi sebelum kumpulan pertama atlet Malaysia ke temasya Sukan Komanwel tiba pada hujung bulan ini.

Pengurus Besar Sukan Komanwel Jefri Ngadirin berkata walaupun selalu berhubung dengan wakil Malaysia di India serta mendapat maklum balas daripada pihak penganjur temasya, pihaknya perlu menilai situasi terkini di New Delhi memandangkan tempoh temasya yang semakin hampir.

"Kita bimbang sekiranya ada di kalangan atlet kita terkena ancaman wabak demam denggi yang semakin menular di India kerana akan menjejaskan keupayaan kita memburu pingat," katanya kepada Bernama, Rabu.

Skuad boling padang dijangka menjadi kumpulan pertama atlet Malaysia yang akan tiba di New Delhi pada 24 September ini.

Media India awal bulan lepas melaporkan sebanyak 140 kes denggi telah direkodkan berlaku di India dengan kes terbesar sebanyak 123 kes di New Delhi, ibu kota yang akan menjadi tuan rumah 17 acara sukan dan tumpuan semasa temasya itu berlangsung.

Jefri berkata Institut Sukan Negara (ISN) akan memberi ceramah dan taklimat kepada semua anggota kontinjen negara ke Sukan Komanwel mengenai semua aspek kesihatan yang perlu diambil perhatian ketika berada di New Delhi.

Beliau turut mengingatkan para atlet agar menjaga pemakanan semasa bercuti pada musim perayaan Aidilfitri ini.

"Saya harap mereka (atlet) berpada-pada menjamu selera dan kurangkan makanan yang berlemak dan kandungan gula tinggi agar tidak menjejaskan prestasi kerana Sukan Komanwel New Delhi kian hampir," katanya.

Atlet ke temasya tersebut akan kembali menyambung latihan selepas dua atau tiga hari beraya di mana tempoh cuti itu bergantung kepada kelulusan jurulatih, katanya.

Malaysia yang diketuai oleh Tan Sri Abdul Halil Abd Mutalib dijangka menghantar seramai 203 atlet dan 99 pegawai untuk menyertai 14 acara sukan iaitu akuatik, angkat berat, badminton, berbasikal, gimnastik, hoki, boling padang, memanah, menembak, olahraga, ping pong, skuasy, tinju, ragbi tujuh sebelah serta tiga acara paralimpik. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain