suria

Shabery Tetap Gembira Walaupun Kien Keat/Boon Heong Tewas

KUALA TERENGGANU: Walaupun gagal mencipta sejarah menjuarai acara regu lelaki dalam Kejohanan Badminton Dunia selepas 33 tahun, pasangan elit negara Koo Kien Keat/Tan Boon Heong tetap mencipta nama tersendiri kerana telah melangkah ke perlawanan akhir, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata pencapaian yang ditunjukkan beregu nombor satu dunia itu dalam kejohanan di Perancis itu amat memberangsangkan.

"Ini pencapaian terbaik beregu negara setakat ini," katanya kepada pemberita di sini malam tadi selepas Kien Keat dan Boon Heong kalah kepada Cai Yun/Fu Haifeng dari China 21-18, 18-21, 14-21 dalam di Stadium Pierre de Coubertin, Paris.

Pemain Malaysia tidak pernah memenangi kejohanan tersebut sejak diperkenalkan pada tahun 1977.

Ahmad Shabery berkata beliau berharap beregu negara dan juga pemain-pemain lain dapat terus memperbaiki prestasi untuk berhadapan dengan dua lagi kejohanan utama tidak lama lagi iaitu Sukan Komanwel di New Delhi pada Oktober dan Sukan Asia di Ghuangzhou pada November.

"Paling utama, semua pemain mempunyai misi besar untuk membawa pulang emas Sukan Olimpik 2012 nanti," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain