suria

Petronas Mofaz Racing Team Sertai Perlumbaan Antarabangsa Di China

KUALA LUMPUR: Petronas Mofaz Racing Team akan melakar sejarah tersendiri apabila berlumba pada Formula BMW Pacific Series di Guangdong International Circuit, China dari 2 hingga 5 September ini kerana ia merupakan perlumbaan antarabangsa pertama yang disertainya.

Peneraju pasukan itu Mohamad Fauzy Abdul Hamid berkata oleh kerana Guangdong International Circuit merupakan trek baru untuk semua pelumba, maka memang menarik untuk melihat bagaimana mereka berlumba dan menyesuaikan diri dengannya.

"Para pemandu telah menyusun jadual untuk berlatih dengan intensif dan membuat persiapan mental dan fizikal, manakala kereta mereka pula berada dalam keadaan paling baik dan bersiap sedia untuk menghadapi cabaran.

"Sasaran kami di Guangdong ialah untuk mengibarkan bendera Malaysia di atas podium bersempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-53. Kami amat mengharapkan hasil yang positif hujung minggu ini," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Perlumbaan itu merupakan Pusingan 7 dan 10 dalam siri berkenaan dan merupakan acara sokongan dalam Cabaran Hong Kong Autosport.

Sementara itu, pelumba kebangsaan Calvin Wong berkata dia akan berusaha dengan lebih gigih untuk memperbaiki kedudukan semasa.

"Ini kali kedua saya berlumba dalam Formula BMW Pacific dan berharap dapat menambah baik kedudukan saya sebagai pemandu keempat terbaik kejohanan apabila siri ini memasuki musim gugur nanti.

Dengan sasaran untuk menambah baik kedudukan keseluruhan masing-masing, rakan sepasukannya Natasha Seatter, Abang Amirrul Hadi Khiruddin dan Ryan Ritchie juga menetapkan sasaran untuk mencapai keputusan cemerlang dalam "Rookie Championship", setelah menjalani latihan intensif sepanjang musim panas.

Berikutan cuaca panas dan ribut petir yang diramalkan berlaku sekali-sekala hujung minggu ini, pasukan tersebut akan memanfaatkan semua data dan pengetahuan yang dikutipnya daripada enam pusingan pertama siri itu untuk memastikan pemandu dan kereta mereka mencapai prestasi terbaik.

Pasukan itu juga berharap akan memperbaiki kedudukan keseluruhan dalam siri perlumbaan berkenaan dan menetapkan sasaran untuk mempamerkan prestasi tekal di Guangzhao hujung minggu ini.

Selepas Guangzhao, pasukan itu akan menyertai pusingan Formula BMW Series seterusnya yang merupakan acara sokongan bagi Formula One Singapore Grand Prix dari 23 hingga 26 September ini.

Dua pusingan terkhir siri ini akan berlangsung di Asian Festival of Speed (AFOS) di Okayama International Circuit, Jepun dari 29 hingga 31 Oktober sebelum menyertai finale musim ini Macau Grand Prix dari 19 hingga 21 November. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain