suria

Nicol Juara Terbuka Hong Kong

RATU Skuasy negara, Datuk Nicol Ann David berjaya menjuarai Kejohanan Skuasy Terbuka Hong Kong setelah menewaskan pemain England, Jenny Duncalf.

Kejayaan ini sekali gus mencatatkan nama Nicol sebagai pemenang untuk lima kali berturut-turut. Pada perlawanan di Pusat Membeli-Belah Plaza Hollywood, Hong Kong, Nicol mengambil masa 40 minit untuk menewaskan Duncalf dengan keputusan 11-6, 12-10 dan 12-10.

"Saya tidak mahu melepaskan perlawanan akhir ini begitu sahaja dan mencipta kemenangan 3-0 ke atas Duncalf," kata Nicol, anak kelahiran Pulau Pinang, berusia 27 tahun itu dalam laman sosialnya, Facebook.

Nicol, pemain nombor satu dunia, mula meninggalkan Duncalf selepas terikat 5-5 pada set pembukaan dan masing-masing terikat 9-9 pada set kedua pada satu ketika. Pada set penentuan, Duncalf, bangkit untuk mendahului 10-7 pada satu ketika sebelum Nicol berjaya mengatasi lawannya dengan keputusan 12-10.

Kedua-dua pemain itu telah bertemu sebanyak 23 kali sejak Kejohanan Remaja Britain pada 1997.

Nicol berjaya mengatasi Duncalf sebanyak 21 kali tetapi kalah dua kali pada akhir tahun lepas.

Kejayaan Nicol kali ini adalah kejuaraan keenam bagi dirinya dalam pertandingan anjuran Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (Wispa) tahun ini selepas Terbuka Chennai, Kuala Lumpur, Cayman Island, Terbuka Malaysia CIMB dan Masters Singapura bulan lepas.

Selepas kejohanan ini, Nicol akan bertanding pada Kejohanan Terbuka Dunia di Sharm El Sheikh, Mesir, dari 15 hingga 22 September ini.

Sementara itu, pemain Mesir Ramy Ashour menewaskan Gregory Gaultier dari Perancis 10-12, 11-9, 11-9, 9-11 dan 11-9 untuk merangkul gelaran juara lelaki selepas bersaing selama 90 minit pada perlawanan akhir.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain