suria

Persatuan Pelayaran Malaysia Cadang Tambah 10 Pelayar Pelapis

LANGKAWI: Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) bercadang menambah 10 pelayar baru untuk menganggotai skuad pelapis kebangsaan tidak lama lagi, kata Pengurus Besarnya Mohd Afendy Abdullah.

Beliau berkata MYA akan membincangkan perkara berkenaan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) terlebih dahulu bagi mendapatkan persetujuan.

"Pada masa ini terdapat 19 pelayar pelapis kebangsaan dan sembilan elit menjalani latihan di Kompleks perahu layar kebangsaan di Langkawi dalam persiapan pada Sukan Asia Guangzhou, China, November ini," katanya di sini.

Pemilihan pelayar pelapis akan dibuat berdasarkan prestasi sepanjang penyertaan kejohanan perahu layar, manakala elit dilihat daripada persembahan cemerlang pada Sukan Asia.

Mengenai sasaran pingat pada Sukan Asia Guangzhou, China, beliau berharap sandaran negara untuk mengumpul separuh daripada sasaran 10 pingat menerusi acara pelayaran pada sukan itu menjadi kenyataan.

Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata pihaknya menyasarkan satu emas pada temasya sukan tersebut namum pungutan melebihi sasaran itu merupakan bonus besar.

Katanya sasaran sukan itu adalah munasabah memandangkan kehadiran gergasi Asia dalam sukan itu peringkat Olimpik seperti pasukan China serta kehebatan pasukan Jepun, Korea Selatan, India, Thailand dan Vietnam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain