suria

Penampilan Ke-90 Federer Di Final

ROGER Federer (gambar) meningkatkan corak permainannya tepat pada masanya apabila menundukkan Marcos Baghdatis 6-4, 6-3 pada aksi separuh akhir Cincinnati Masters.

Bintang Switzerland itu melakukan penampilan ke-90 pada aksi final dan akan bertemu Mardy Fish dari Amerika Syarikat (AS).

Fish terlebih dahulu melakukan kejutan dengan menewaskan pemain AS, Andy Roddick untuk mencatat kemenangan 3-6, 7-6, 6-1 dan melangkah ke final Siri Masters ketiganya.

Laluan Federer ke final tampak mudah tetapi juara bertahan dan finalis di Toronto minggu lalu itu kelihatan berada pada tahap terbaik menjelang kemuncak kejohanan berkenaan.

"Saya tidak melakukan sebarang kesilapan pada hari ini (Ahad). Ia pertama kali dilakukan pada jelajah utara Amerika. Prestasi terbaik saya hadir tepat pada masanya.

"Saya bermain dengan begitu baik sekali. Saya melakukan pukulan kencang tanpa sebarang masalah. Strategi permainan saya betul-betul menjadi kali ini," kata Federer.

Federer pernah bertemu Fish sebanyak enam kali dan kali terakhir mereka dipertemukan pada Indian Wells dua tahun lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain