suria

Nicol Berazam Juarai Terbuka Hong Kong Untuk Kali Kelima

KUALA LUMPUR: Setelah dinobatkan sebagai juara dalam lima kejohanan anjuran Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (Wispa) tahun ini, ratu skuasy negara dan pemain nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David berazam untuk mempertahankan gelaran juara Terbuka Hong Kong untuk kali kelima, yang dimenanginya sejak 2006. Kejohanan di Hong Kong Squash Centre di Cotton Tree Drive dan Plaza Hollywood di Diamond Hill itu akan bermula dengan pusingan kelayakan pada Isnin dan Selasa, manakala perlawanan utama berlangsung dari Rabu hingga Ahad.

Nicol, yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya ke-27 Khamis ini, akan bersaing dengan Sarah Kippax dari England dalam pusingan pembukaan pada Rabu.

"Peristiwa manis di Hong Kong dengan berlatar belakangkan pemandangan pelabuhannya, kembali bermain di ingatan ketika saya memenangi gelaran juara Terbuka Dunia dulu," kata Nicol dalam laman Facebooknya, Ahad.

Selain Nicol, pemain nombor tiga Malaysia Delia Arnold akan bermain dalam undian utama kejohanan itu berikutan penarikan diri Low Wee Wern kerana kecederaan paha. Bermain sebagai pemain pilihan ke-18, Delia dijangka menghadapi tugas berat kerana akan menentang pemain Australia Rachael Grinham, yang merupakan pilihan ketiga.

Bagaimanapun, seorang lagi pemain Malaysia, Siti Munirah Jusoh, mendapat 'bye' bagi pusingan pertama perlawanan pembukaan.

Dalam kategori lelaki, Malaysia meletakkan harapan di bahu Mohd Azlan Iskandar dan Ong Beng Hee.

Mohd Azlan akan memulakan aksinya dengan menentang pemain nombor sembilan dunia, yang juga pilihan kesembilan kejohanan ini, Daryl Selby dari England pada pusingan pertama dan sekiranya berjaya menumpaskan Selby, Azlan akan bertemu pemain nombor satu dunia dan pemain pilihan utama Nick Matthew dari England pada pusingan kedua.

Beng Hee juga bakal menghadapi tugas berat apabila bertemu pemain nombor 16 dunia Cameron Pilley dari Australia pada pusingan pertama, manakala Mohd Nafiizwan Adnan, Mohd Asyraf Azan dan Kamran Khan akan beraksi pada pusingan kelayakan.

Keputusan undian bagi pusingan kelayakan lelaki akan diumumkan esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain