suria

Penembak Negara Dinobatkan Olahragawan Perak Buat Kali Ketiga

IPOH: Penembak kebangsaan Hasli Izwan Amir Hassan dan penerjun Leong Mun Yee dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Perak 2009.

Kedua-dua atlet itu menerima anugerah masing-masing daripada Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Perak 2009 dan Penyampaian Insentif Kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) 2010 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, Sabtu.

Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, piala pusingan, sijil penghargaan dan jaket.

Hasli Izwan menenangi dua pingat perak pada kejohanan Sukan SEA ke-25 di Laos, meraih pingat gangsa sukan menembak Asia Tenggara di Bangkok dan menduduki tempat ke-22 dalam kejohanan menembak ISSF World Cup di Munich.

Kejayaan ini adalah yang ketiga buat Hasli selepas merangkul olahragawan Perak 2005 dan 2007.

Leong pula muncul calon utama meraih gelaran itu sekali lagi selepas dipilih pada 2003 ekoran kejayaan membolot dua emas dan satu gangsa pada Sukan Sea ke-25.

Dalam majlis yang sama atlet Tenpin Boling, Faiz Miza Yop Zain dan atlet Taekwondo, Nasirah Azman pula dinobatkan sebagai Olahragawan Harapan dan Olahragawati Harapan.

Selain itu, pasangan Ahmad Termizi dan Noor Fadilah pula berjaya memenangi Anugerah Keluarga Sukan berdasarkan pembabitan aktif anak-anak mereka Nurul Hidayah, Mohammad Nuzul Azwan, Nurul Illya dan Nurul Nadhirah yang mewakili negara dalam sukan petanque.

Anugerah Pasukan Terbaik pula dimenangi Pasukan Kriket Perak Senior manakala Anugerah Jurulatih dimenangi jurulatih taekwondo, Nawas Khan Mohamed Kassim.

Jurufoto akhbar The Star Biro Perak Saiful Bahri Abd Rahman pula menerima Anugerah Media. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain