suria

Siti Zubaidah Mahu Cipta Nama Di Sukan Komanwel

KUALA LUMPUR: Atlet pelapis olahraga, Siti Zubaidah Adabi yang akan beraksi dalam acara pecut 100 meter, berharap dapat membawa pulang pingat tanpa mengira warna dari Sukan Komanwel di New Delhi yang akan berlangsung dari 3-14 Oktober ini.

Anak jati Johor berusia 24 tahun itu berkata dia akan turut beraksi di Sukan Asia di Guangzhou, China dari 12-27 November tetapi dalam acara 4x100 meter.

"Saya jangka saingan di New Delhi agak sengit kerana atlet seperti dari benua Afrika seperti Kenya dan Tanzania mendominasi acara olahraga," katanya, Jumaat.

Siti Zubaidah berkata dia masih berpeluang untuk beraksi dalam acara pecut 100m di Guangzhou sekiranya dapat mengatasi kelayakan ke temasya itu yang akan berakhir pada 3 September ini.

Dia berkata pencapaian terbaiknya dalam acara 100m setakat ini adalah 11.81 saat yang dilakukannya pada GP Asia di Chenn (India) pada Jun lepas dan beliau berharap dapat memperbaiki catatan peribadinya dari masa ke semasa.

Sementara itu jurulatihnya Harun Rasheed berkata prestasi yang dipamerkan Siti Zubaidah pada GP Asia membuktikan dirinya berpotensi untuk meraih pingat dari temasya di New Delhi.

Harun berkata bulan lepas kuartet Siti Zubaidah bersama Norjannah Hafiszah Jamaludin, Nurul Sarah Abdul Kadir dan YeeYi Ling melakukan catatan baru 45.33 saat dalam acara 4x100m wanita semasa beraksi di Kejohanan Olahraga di Poland.

Katanya catatan itu memperbaharui rekod kebangsaan 45.37 saat yang berusia 21 tahun yang dilakukan oleh gandingan Anita Ali, G.Shanti, Sajaratuldur Hamzah dan Mumtaz Jaafar pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.

Harun berkata beliau juga giat mempersiapkan anak buahnya bagi menghadapi temasya Sukan SEA ke-26 di Indonesia, tahun depan terutama untuk memecah dominasi pelari-pelari dari Thailand dan Indonesia.

"Jika mereka menunjukkan peningkatan dan mengekalkan konsisten, saya yakin mereka mampu bawa pulang pingat di Sukan Sea. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain