suria

Selepas 11 Tahun Menanti, Malaysia Hantar Pelumba Kraft Air

KUALA LUMPUR: Selepas menanti 11 tahun, Malaysia akan menghantar tiga pelumba sukan kraft air di bawah nama Jetrace 1Malaysia untuk menyertai pusingan akhir kejohanan dunia Quakysense ke-29 di Lake Havasu City, Arizona, Amerika Syarikat.

Pengurus pasukan, Raja Aris Dzulkifli berkata Kelab Sukan Kraft Air Malaysia telah menubuhkan pasukan untuk menyertai kejohanan selama seminggu itu yang merupakan penyertaan sulung pasukan negara di kejohanan dunia.

"Kita pernah mendapat kelayakan menyertai kejohanan ini pada tahun 1999 namun kerana kegawatan ekonomi, kita terpaksa melupakan hasrat itu dan terpaksa menunggu peluang selama 11 tahun.

"Penyertaan pada kali ini tidak akan dipersiakan kerana peluang untuk menyertainya adalah sukar kerana sukan kraft air merupakan sukan yang popular di luar negara berbanding di Malaysia," katanya kepada pemberita, Jumaat.

Raja Aris berkata negara Asean yang kuat memberi persaingan dalam sukan kraft air ialah Indonesia, Thailand dan Filipina kerana mereka memfokuskan sukan berkenaan ke peringkat antarabangsa.

Mohd Nur Azahari Ahmad Baddri, 28, dari pasukan X1 Jetracing Team akan menyertai kategori Amateur Runabout 800 Open manakala Ahmad Dawi Alias, 45, dari Club Terengganu Marina Racing Team (CTM Racing) akan menyertai kategori Novice Runabout 1800 Stock.

Peserta wanita, Katherine Kong, 35, dari pasukan LT-Kawasaki Racing Team akan menyertai Women Runabout 1800 Limited.

Raja Aris turut memohon tajaan daripada syarikat korporat untuk membiayai pasukan tersebut kerana ia memakan kos perbelanjaan yang besar dan segala perbelanjaan ditanggung sendiri.

"Kita berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut mengambil perhatian terhadap sukan kraft air kerana sukan ini mempunyai nilai komersial untuk dibangunkan memandangkan negara kita sesuai dijadikan lokasi pertandingan dan dikelilingi oleh pantai.

Lebih 500 peserta dari 40 negeri di Amerika Syarikat dan 30 negara luar akan menyertai kejohanan di Lake Havasu dan membabitkan lapan kategori.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain