suria

Rahsia Di Sebalik Kejayaan Singapura

SINGAPURA: Pada malam pembukaan Sukan Olimpik Remaja yang julung kali diadakan minggu lepas, tuan rumah Singapura mendedahkan kepada dunia kisah kejayaan negara bandar raya ini untuk berkembang daripada sebuah pelabuhan perdagangan pada abad ke-19, hingga menjadi sebuah metropolis serba canggih hari ini.

Melalui persembahan pentas dan klip video selama lapan minit, berjuta-juta penduduk dunia yang menyaksikan siaran langsung acara itu melalui televisyen dihidangkan dengan kisah kejayaan serta keazaman mendalam dan keperitan yang dilalui pemimpin dan penduduk republik ini untuk membangunkan negara mereka.

Pemandangan para buruh membanting tulang untuk memikul barang dari tongkang, sungai yang tercemar, sampah yang bersepah di jalan raya, keperitan para pekerja yang terpaksa memerah keringat di tapak pembinaan, penduduk miskin menjalankan tugas harian, hinggalah kepada para pemimpin yang turun padang untuk bertemu rakyat, semuanya dipaparkan dengan begitu jelas.

Oleh kerana dihimpit pelbagai kekurangan berikutan pemisahannya dengan Malaysia dan tidak memiliki sebarang sumber asli, kecuali kawasan tanah yang terhad selepas mencapai kemerdekaan pada 1965, Singapura dan penduduknya telah memanfaatkan apa jua sumber yang dimilikinya untuk membangunkan negara mereka hinggalah menjadi apa yang wujud sekarang.

Pada perarakan hari kebangsaan yang berlangsung pada 9 Ogos untuk menyambut ulang tahun ke-45 kemerdekaan Singapura, republik ini mempamerkan pencapaian gemilangnya, termasuk pameran besar-besaran yang julung kali diadakan bagi menampilkan kehebatan dan kekuatan Angkatan Tentera Singapura.

Deretan lebih 200 kenderaan tentera daripada kereta kebal Leopard terkini yang serba canggih hinggalah kepada kenderaan berperisai pengangkut meriam dan sistem senjata pertahanan buatan tempatan memenuhi venue sambutan, yang mengagumkan rakyat tempatan dan warga asing.

Beberapa buah pesawat Tentera Udara Singapura, termasuk jet pejuang F-15SG buatan Amerika dan pesawat Sistem Amaran Awal dari Udara Gulfstream 550 yang baru dibeli republik ini, turut mengaum di udara untuk mempamerkan ketangkasannya dalam melindungi ruang udara negara ini daripada sebarang ancaman musuh.

Dua acara itu bolehlah disimpulkan sebagai cara Singapura untuk menyatakan kepada dunia tentang betapa jauh dan pesat kejayaan yang dicapainya sejak ia terpaksa berhempas pulas untuk meneruskan kehidupan 45 tahun lepas sebagai sebuah pusat perdagangan lama, sebelum berjaya mencapai status negara bandar raya serba moden sekarang.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk menyatakan kepada dunia bahawa walaupun negara ini telah nyaris-nyaris terjerumus ke lembah kehinaan suatu ketika dulu, namun ia tetap mampu dan berjaya mencapai kejayaan gemilang dalam membawa kemakmuran dan pembangunan serta meningkatkan maruah penduduknya yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Hari ini, Singapura merupakan sebuah negara yang kuat dan amat berbangga dengan kedudukannya, manakala penduduknya yang berjumlah lima juta orang pula sanggup berkorban apa saja untuk mempertahankan negara mereka daripada sebarang bentuk ancaman.

Mungkin ada orang bertanya bagaimanakah Singapura mampu sampai ke tahap yang ada sekarang dengan begitu pantas dan mengubah kedudukannya daripada sebuah negara Dunia Ketiga kepada Dunia Pertama, lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan banyak negara lain yang lebih awal mencapai kemerdekaan serta memiliki kekayaan sumber asli, tetapi masih ketinggalan daripada segi pembangunan.

Soalan ini bukan saja sukar dijawab oleh kebanyakan orang, termasuk orang luar, malah oleh salah seorang bapa pengasas Singapura, yang menjadi peneraju utama usaha membangunkan negara ini.

"Ia suatu kisah yang amat luar biasa," kata Lee Kuan Yew kepada pengundi di kawasannya tentang pembangunan pintar Singapura pada majlis sambutan hari kebangsaan negara ini di Tanjong Pagar minggu ini.

Beliau berkata Singapura telah berjaya mengatasi keadaan tidak menentu serta semua bentuk halangan serta cabaran yang wujud ketika itu dalam usahanya untuk terus hidup dan membina sebuah negara pulau yang kecil saiznya dengan amat cemerlang.

"Tiada siapa yang menyangka kita akan terus hidup," katanya sambil menyatakan bahawa pada 1965, Singapura dikelilingi oleh jiran-jiran yang menyimpan semangat permusuhan, konfrontasi daripada Indonesia dan penolakan keluarnya dari Malaysia, di mana kedua-dua negara itu mengenakan sekatan ekonomi terhadapnya.

Pada satu peringkat, Lee, yang menjadi perdana menteri Singapura ketika itu, menguatkuasakan dasar "Dua Sudah Mencukupi" di mana keluarga di Singapura tidak dibenarkan mempunyai lebih daripada dua anak kerana bimbang negara ini tidak mampu menyara kehidupan lebih ramai rakyatnya.

Tanpa memiliki sumber asli selain dua juta penduduk ketika itu, ditambah pula dengan begitu ramai pendatang dari China, India dan Indonesia serta memiliki nilai sosio budaya yang begitu pelbagai sifatnya, Singapura tidak mempunyai pilihan selain bergantung pada modal insan yang dimilikinya untuk membangunkan negara ini.

Sebagai langkah pertama, kerajaan perlu menyatu-padukan rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai keturunan, agama dan bahasa sebagai satu bangsa dan meletakkan mereka di bawah satu bumbung di rumah pangsa yang dibina Lembaga Pembangunan Perumahan agar mereka belajar menghormati satu sama lain sebagai jiran dan hidup dalam suasana harmoni.

Penduduk negara ini juga didisiplinkan oleh pelbagai undang-undang dan peraturan bagi memastikan mereka membuang tabiat lama yang sudah menjadi darah daging masing-masing seperti mengotorkan sungai dan jalan raya dalam usaha mewujudkan suasana kehidupan yang bersih serta mengamalkan nilai etika yang terpuji.

Hasilnya, Singapura terkenal sebagai antara negara yang paling bersih, selamat dan tersusun pembangunannya di dunia hinggakan sesetengah pihak menggelarkan negara ini sebagai "bandar raya denda", bukan untuk merujuk kepada kebersihannya, tetapi kepada pelbagai undang-undang kecil yang mengenakan denda yang besar jumlahnya terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

Bagaimanapun, kata Lee, Singapura juga mencapai kejayaannya hasil daripada kualiti dan pandangan jauh para pemimpin awalnya yang telah meletakkan asas yang kukuh untuk negara ini agar ia mampu berdikari dan berkembang tanpa sebarang rintangan.

Beliau berkata Singapura dibina oleh para pemimpin yang memiliki kecekapan serta berintegriti tinggi, manakala dasar meritokrasi yang diamalkan negara ini membolehkan setiap rakyatnya mencapai kedudukan tinggi dalam masyarakat berdasarkan merit, bukan melalui amalan nepotisme dan rasuah.

Para pemimpin juga memastikan dasar kerajaan tidak digunakan untuk memenuhi kepentingan peribadi masing-masing, hinggakan kerajaan Singapura diiktiraf sebagai kerajaan paling bersih di Asia dan antara tiga negara terawal yang paling bersih di dunia, kata Lee.

Negara ini juga memastikan semua rakyatnya, tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama, mempunyai peluang sama rata untuk mengejar kesejahteraan hidup dan tiada siapa menjadi mangsa penindasan oleh mana-mana dasar negara.

Untuk memastikan penduduk pelbagai kaumnya benar-benar bersatu-padu, kerajaan mengisytiharkan bahasa Inggeris sebagai bahasa bekerja di negara ini, untuk berkomunikasi dan untuk menjalankan urusan perniagaan, terutama dengan dunia luar.

"Kita tidak pilih bahasa Cina, bahasa penduduk majoriti negara kini," kata Lee sambil menambah bahawa bahasa Inggeris memberi peluang sama rata kepada setiap orang untuk menguasainya.

Ia adalah bahasa dunia perniagaan dan individu, Internet dan pengetahuan baru. Ia telah menjadikan kita hab perniagaan, industri, perbankan dan perkhidmatan kewangan serta komunikasi," kata Lee, 86.

Seperkara lagi yang menyebabkan Singapura begitu berjaya ialah kerana ia memiliki kemampuan yang luar biasa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang sentiasa berubah, lebih-lebih lagi dengan kedudukannya sebagai negara perdagangan yang banyak bergantung pada dunia untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran.

"Dasar-dasar kita tidak membeku di dalam batu," kata Lee sambil menambah bahawa Singapura akan mengkaji dasar-dasar dan kedudukan lamanya dari semasa ke semasa serta mengubahnya mengikut peredaran masa.

Beliau memberi contoh bagaimana kerajaan pada mulanya menentang usaha untuk mengadakan perlumbaan F1 dan kasino selama beberapa dekad kerana tidak sesuai dengan keadaan negara ketika itu dan hanya baru-baru ini sahaja masyarakat tempatan dibenarkan menikmatinya setelah menyedari betapa ia boleh menjana hasil daripada limpahan ekonomi untuk memberi manfaat kepada rakyat.

Bulan depan, Singapura akan menganjurkan perlumbaan F1 untuk kali ketiga dan sekali lagi negara ini akan berpeluang untuk mempamerkan kepada dunia betapa sebuah negara yang tidak memiliki apa-apa pada asalnya, mampu menjadi tuan rumah perlumbaan paling unggul di dunia. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain