suria

MSN Minta KOAM Henti Tuding Jari

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) tidak sepatutnya menuding jari menyalahkan Majlis Sukan Negara (MSN) apabila gagal menjelaskan hutang RM60,000 kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), kata Ketua Pengarah MSN Datuk Zolkples Embong.

Beliau berkata KOAM sebelum ini pernah berjanji untuk membayar balik kos pembiayaan atlet olahraga kategori B ke Sukan SEA di Laos pada tahun lepas.

“Sepatutnya pihak KOAM selesaikan sendiri apa yang telah mereka janjikan kerana sebelum ini mereka memberi jaminan untuk membayar balik,” katanya kepada pemberita, Jumaat.

Sebelum ini, KOAM dilaporkan bertegas tidak mahu menjelaskan hutang sebanyak RM60,000 kepada MOM dengan alasan tidak mempunyai dana yang mencukupi.

KOAM dibebani hutang sebanyak RM60,000 kerana terdapat atlet kategori B yang gagal meraih sekurang-kurang pingat perak di temasya Sukan Sea itu.

Mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh MOM, atlet yang layak secara merit ke sesuatu temasya diletakkan di bawah kategori A di mana segala perbelanjaan ditanggung oleh MOM tetapi atlet yang tidak layak secara merit tetapi turut diberi peluang untuk beraksi, berada di kategori B.

Persatuan perlu menanggung sendiri perbelanjaan atlet kategori B tetapi MOM akan membayar kembali jika atlet tersebut berjaya meraih sekurang-kurangnya pingat perak.

Sebelum ini Setiausaha Kehormat MOM Datuk Sieh Kok Chi juga dilaporkan meminta KOAM melangsaikan hutangnya terlebih dahulu sebelum menghantar atlet di bawah naungannya ke Sukan Komanwel di New Delhi, India yang akan berlangsung dari 3 hingga 14 Oktober ini.

Zolkples bagaimanapun berkata demi kepentingan atlet negara, MSN akan cari jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah tersebut.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain