suria

Wei Sheng Tarik Diri Daripada Saingan Pingat Gangsa

SINGAPURA: Harapan Loh Wei Sheng untuk memenangi sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam acara badminton Sukan Olimpik Belia 2010 berkecai apabila beliau masih gagal pulih daripada kecederaan buku lali untuk menghadapi saingan. Wei Sheng yang mendapat kecederaan semasa perlawanan separuh akhir Rabu, yang memaksa beliau memberi kemenangan percuma kepada pemain Thailand Pisit Poodalachat, terpaksa menarik diri dalam perlawanan menentang pemain Korea Selatan Kang Ji Wook di sini Khamis, memandangkan beliau tidak dapat pulih daripada kecederaan.

Sejam sebelum perlawanan, sijil perubatan dihantar kepada pengadil kejohanan dan beliau kemudiannya diperiksa oleh doktor kejohanan Datuk Dr Gurcharan Singh dari Malaysia yang mengesahkan kecederaan itu.

"Memang saya tidak dapat bermain hari ini, malah saya tidak dapat berjalan dengan betul sekalipun. Sudah tentu saya sedih, tapi apa boleh buat," kata Wei Sheng. Wei Sheng hanya dapat melihat dari tepi gelanggang, kehebatan Pisit menumpaskan lawannya dari India, Pranooy Haseena Sunil Kumar, dengan 21-15, 21-16 untuk meraih pingat emas.

Terdahulu pemain wanita Thailand Sapsiree Teratanchai merangkul gelaran juara kategori wanita selepas menewaskan pemain China Deng Xuan 21-15, 21-16. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain