suria

Pemain Malaysia Berpasangan Dengan Davydenko

KUALA LUMPUR: Pemain tenis nombor enam dunia Nikolay Davydenko telah bersetuju untuk berpasangan dengan pemain Malaysia sebagai sebahagian gandingan wild card dalam undian utama acara beregu pada Jelajah Dunia ATP Terbuka Malaysia.

"Ini mungkin merupakan julung kali dalam sejarah sukan Malaysia bahawa seorang pemain tenis Malaysia akan berpasangan dengan pemain perseorangan dalam ranking 10 terbaik ATP untuk bermain dalam pertandingan beregu undian utama ATP," kata pengarah kejohanan Nick Freyer pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Pemain Malaysia berkenaan akan dipilih Persatuan Lawn Tennis Malaysia dan akan diumumkan kemudian, katanya.

Kejohanan itu akan berlangsung dari 25 Sept hingga 3 Oktober di Stadium Putra di Bukit Jalil.

Freyer berkata empat daripada 10 pemain perseorangan terbaik dunia yang akan berentap dalam kejohanan itu ialah Davydenko dari Russia, pemain nombor lima dunia Robin Soderling dari Sweden, pemain nombor tujuh dunia Tomas Berdych dari Republik Czech dan pemain nombor 10 dunia David Ferer dari Sepanyol.

Beliau berkata satakat ini 19 pemain dari 15 negara layak secara automatik menyertai kejohanan itu berdasarkan ranking.

"Selain 19 pemain yang disahkan penyertaan itu, terdapat empat lagi pemain daripada kejohanan pusingan kelayakan dan tiga pemain daripada undian utama wild card yang akan diumumkan kemudian," katanya.

Jumlah penyertaan bagi kejohanan tahun ini ditetapkan 71 pemain berbanding 64 tahun lepas.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain