suria

Milner Sarung Jersi City, Ireland Sertai Aston Villa

MANCHESTER City menyempurnakan perpindahan James Milner (gambar) dari Aston Villa dengan perjanjian yang menyaksikan Stephen Ireland berpindah ke Villa Park.

Milner berada di Manchester pada Selasa untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum menandatangani kontrak selama lima tahun di Eastlands.

Pemain berusia 24 tahun itu tidak akan beraksi menentang Timisoara dalam aksi Liga Europa, Khamis tetapi akan melakukan penampilan pertama bersama City ketika menentang Liverpool, Isnin depan.

Perpindahan itu dianggarkan bernilai 24 juta pound (RM117 juta) yang menjadikan kesemua perbelanjaan City pada musim panas ini mencecah 120 juta pound (RM586 juta).

Pengurus City, Roberto Mancini memberitahu beliau sangat gembira dengan kehadiran Milner untuk memperkuat pasukan itu musim ini.

"Dia pemain tengah berkebolehan yang boleh beraksi di pelbagai posisi. Ia penting untuk pasukan. Kami mempunyai skuad mantap dan setiap kemasukan pemain baru amat penting bagi kami," katanya.

Sementara itu, Ireland (gambar) pernah memperkuat City selama lapan tahun dengan melakukan 142 penampilan dan menjaringkan 23 gol.

Mengulas mengenai pemergian Ireland, Mancini memberitahu beliau berharap agar kariernya cemerlang bersama Villa.

"Dia pemain baik dan menjadi sebahagian daripada sejarah City. Saya percaya dia akan gembira bersama kelab barunya. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Ireland," tambah Mancini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain