suria

Tindakan Chong Wei Berlatih Sendiri Tidak Salah

KUALA LUMPUR: Tindakan Datuk Lee Chong Wei tidak menyertai rakan sepasukannya berlatih di Universiti of Bath di London merupakan satu strategi khusus beliau dalam menghadapi Kejohanan Dunia di Perancis, kata Naib Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Mohamed Al-Amin Abdul Majid.

Beliau berkata tindakan Chong Wei dan jurulatihnya Datuk Misbun Sidek yang lebih selesa berlatih di sini tidak salah, kerana pemain itu boleh berlatih di mana sahaja asalkan ia dapat menghasilkan keputusan yang terbaik di Perancis nanti.

"Sebagai pemain perseorangan nombor satu dunia, Chong Wei punyai karektornya sendiri, tambahan lagi dia tidak pernah memenangi kejohanan di Perancis itu dan tentunya dia mahu melakukan persiapan yang tersendiri," katanya kepada Bernama, di sini, Rabu.

Mohamed Al-Amin berkata demikian ketika mengulas tindakan Chong Wei dan Misbun yang tidak bersama skuad badminton ke Pusat Latihan Prestasi Tinggi di Universiti Bath, London sebagai persiapan ke Kejohanan Dunia di Paris yang akan berlangsung dari Isnin hingga 28 Ogos.

Katanya beliau tidak bersetuju dengan anggapan sesetengah pihak yang melihat tindakan Chong Wei itu sebagai 'aksi primadona' semata-mata kerana pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 itu hendak berlatih bersendirian.

"Kena beri keyakinan bahawa pemain negara seperti Chong Wei merupakan seorang yang penuh berdedikasi dan berdisiplin tinggi dan tindakannya lebih menjurus kepada persiapan yang khusus dalam satu kejohanan yang besar seperti ini," katanya.

Mohamed Al-Amin berkata berbeza dengan persiapan skuad Piala Thomas yang mementingkan semangat berpasukan, Kejohanan Dunia pula adalah pertandingan individu yang mungkin menemukan sesama pemain-pemain dari Malaysia.

"Contohnya Chong Wei dijangka bertemu Muhd Hafiz Hashim pada pusingan kedua kejohanan di Paris. Jadi Chong Wei mungkin perlukan strateginya tersendiri dan tidak bersama ke London," katanya.

Beliau berkata pemain-pemain terdahulu juga pernah membuat persiapan secara individu sebelum sesuatu kejohanan, dan beliau memberi contoh Misbun dan Roslin Hashim yang menurutnya pernah berbuat demikian.

"Dia pernah menjuarai banyak kejohanan terbuka dunia. Saya rasakan Kejohanan Dunia di Paris antara kejohanan besar yang diimpikannya," tambahnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain