suria

Pembangunan Sukan Pelayaran: Masih Banyak Perlu Dilakukan

KUALA LUMPUR: Meskipun Malaysia sudah mula menempa nama di peringkat antarabangsa dalam arena sukan pelayaran, namun pembangunan sukan itu dilihat masih belum mencapai tahap yang diharapkan, kata Pengurus besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) Mohd Afendy Abdullah.

Beliau menyifatkan pembangunan sukan itu tidak mencecah 10 peratus daripada yang sepatutnya, dan menurut beliau walaupun terdapat 18 buah sekolah pelayaran di seluruh negara namun kebanyakan sekolah-sekolah itu kekurangan peruntukan.

"Kurangnya peruntukan kewangan menyebabkan peralatan dan alat ganti tidak mencukupi. Di setiap sekolah mungkin hanya ada lima hingga enam bot, jadi beberapa orang pelajar sahaja yang dapat menggunakan pada satu-satu masa," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Rabu.

Selain itu menurutnya sekolah-sekolah juga terpaksa menggunakan tenaga sukarelawan untuk melatih pelajar-pelajar kerana tidak mampu mengaji jurulatih sepenuh masa.

"Malaysia kini merupakan antara negara terbaik dunia dalam sukan pelayaran dan ramai atlet dari sukan itu pernah memenangi kejohanan serta membawa pulang emas untuk negara," katanya.

"Sukan layar juga berpotensi menyumbang emas di Olimpik, oleh sebab itu sewajarnya pembangunan sukan ini ditingkatkan lagi bagi memastikan ia tidak mati dan akan terus melahirkan ramai pelayar-pelayar handalan," tambahnya.

Sementara itu, pelayar negara Nurul Ain Md Isa turut berharap agar lebih banyak usaha dijalankan untuk pembangunan sukan tersebut terutamanya penganjuran kelas atau klinik yang mengajar asas pelayaran.

Katanya ramai remaja yang berminat untuk melibatkan diri dalam sukan layar bagaimanapun tidak mengetahui cara untuk memulakannya.

"Kalau boleh lebih banyak sekolah atau klinik pelayaran bagi mereka yang mahu belajar dari awal, yang betul-betul 'zero', yang tidak tahu mengenai 'sportboat'," kata 'skipper' dari Perak itu.

Beliau berkata lebih banyak pertandingan perlu diadakan untuk mencari bakat-bakat baru dalam sukan berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain