suria

Makaf Sandar Harapan Emas Kepada Empat Atlet Kumite Negara

KUALA LUMPUR: Pasukan karate negara mensasarkan kutipan sekurang-kurangnya satu pingat emas daripada acara kumite pada Sukan Asia di Guangzhou, China pada 12 hingga 27 November ini.

Jurulatih kebangsaan P. Arivalagan berkata harapan emas itu disandarkan pada acara kumite wanita dan lelaki yang melibatkan atlet kebangsaan iaitu Jamalliah Jamaluddin, G.Yamimi, R. Puvaneswaran dan Lim Yoke Wai.

Atlet lain yang terlibat dalam acara kumite lelaki ialah Mohd Hatta Mahmood dan kumite wanita iaitu G.Wathana, katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Beliau berkata Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) turut menghantar dua atlet kebangsaan bagi acara Kata wanita iaitu Lim Lee Lee manakala Ku Jin Keat bagi Kata lelaki.

"Atlet acara individu, Lee Lee dan Jin Keat, kini menjalani latihan di Pusat Kecemerlangan Zon Utara di Pulau Pinang di bawah jurulatih dari Jepun," katanya.

Selain itu, pasukan negara akan bertanding di Kejohanan Terbuka Istanbul pada 17 hingga 19 Sept ini diikuti Terbuka Indonesia Kedua pada 24-26 Sept sebagai pendedahan terakhir sebelum ke Sukan Asia.

Pada Sukan Asia Doha 2006, skuad karate negara memperoleh empat pingat perak dan tiga pingat gangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain