suria

Impian Wei Sheng Di Yog Musnah Akibat Kecederaan Buku Lali

SINGAPURA: Impian Loh Wei Sheng untuk mara ke perlawanan akhir badminton Sukan Olimpik Belia (YOG) berkecai akibat kecederaan buku lali yang dialaminya.

Pemain remaja Malaysia yang berusia 17 tahun itu mendapat kecederaan ketika bertemu pemain Thailand Pisit Poodchalat pada perlawanan separuh akhir di stadium tertutup di sini apabila buku lali kanannya tergeliat.

Kesakitan yang dialami itu menyebabkan Wei Sheng mengambil keputusan untuk tidak meneruskan permainan ketika dia ketinggalan 3-11 pada set penentuan, sekaligus memberi laluan kepada Pisit ke perlawanan akhir hari ini selepas menang 21-13, 19-21, 11-3.

"Kecederaan itu amat mengecewakan saya. Saya selesa sepanjang permainan walaupun tewas 13-21 pada perlawanan pertama. Saya berusaha lebih kuat pada perlawanan kedua dan ketika kedudukan mata 17-17, saya rasa sakit sedikit di buku lali, saya masih meneruskan permainan.

"Tetapi ketika set ketiga saya rasa betul-betul sakit. Saya tidak boleh meneruskan perlawanan. Dan kini saya tidak tahu jika saya boleh bermain dalam perlawanan untuk menentukan pingat gangsa (melawan pemain Korea Selatan Kang Ji Wook). Saya akan membuat pemeriksaan doktor pagi Khamis dan tengok apa yang doktor cakap. Saya benar-benar mahu bermain dan mendapatkan pingat untuk negara, katanya.

Sementara itu, perlawanan akhir wanita akan menyaksikan pemain China Deng Xuan bertemu pemain Thailand Sapsiree Terratanachai selepas masing-masing memenangi peringkat separuh akhir, Rabu.

Pamain Thailand itu menewaskan pemain Vietnam Vu Thi Trang 21-18, 21-8 manakala Deng mengalahkan Sarah Milne dari Great Britain 21-12, 21-12. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain