suria

Tiga Pelumba Motocross Malaysia Jalani Latihan Di California

ALOR SETAR: Tiga pelumba Malaysia yang menunjukkan prestasi baik dalam beberapa siri kejohanan motocross terpilih untuk menjalani latihan di California, Amerika Syarikat, penghujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KTM Malaysia Kenny Lee berkata syarikat itu memilih untuk menaja Mohd Amir Yusoff, 21, serta adik beradik Muhamad Adam Norrodin, 12, dan Muhamad Ibrahim, 10, menjalani latihan itu berdasarkan kepada prestasi cemerlang ketiga-tiga pelumba itu.

"Ketiga-tiga pelumba itu telah menunjukkan kecemerlangan apabila beberapa kali mendapat tempat (yang baik) dalam beberapa siri kejohanan di negara-negara Asia seperti Filipina dan Indonesia," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Motocross KTM 250 SX-F dan 350 SX-F di sini petang Sabtu.

Beliau berkata ketiga-tiga pelumba itu akan menjalani latihan di California, November ini selama dua minggu dan selepas tamat latihan, mereka akan menyertai pertandingan antarabangsa di sana.

Sementara itu, Mohd Amir berkata beliau sangat gembira dengan tawaran itu dan akan memanfaatkan segala ilmu yang bakal diperolehi semasa di California nanti dengan sebaik mungkin.

"Saya menyertai sukan lasak ini sejak berumur sembilan tahun lagi. Saya mula meminati sukan motocross ini apabila sering melihat kawan bapa saya beraksi," katanya.

Mohd Amir yang selalu menyertai kejohanan antarabangsa berkata untuk mengikuti latihan di California, dia akan mempersiapkan diri dari segi ketahanan diri dan juga stamina.

"Saya akan memantapkan permainan untuk memastikan setiap kejohanan yang saya sertai memperoleh kejayaan," katanya sambil menambah beliau tidak akan lokek untuk berkongsi pengalaman semasa di California kelak.

Muhamad Adam dan Muhamad Ibrahim pula didedahkan dengan sukan lasak itu apabila sentiasa mengikuti bapa mereka, Mohd Norrodin Jalil, 43, beraksi di trek.

Mohd Norrodin berkata beliau gembira dan bersyukur apabila usahanya untuk menjadikan anak-anaknya itu pelumba motocross terkenal dihargai dan mendapat perhatian.

"Anak-anak saya menunjukkan minat yang mendalam dalam sukan motor lasak ini. Saya membeli motosikal lasak yang kecil untuk mereka dan mereka dapat menunggang dengan baik," katanya.

Sementara itu, Kenny berkata sasaran jualan kedua-dua motosikal lumba itu di pasaran Malaysia untuk tahun ini adalah masing-masing 15 unit.

Model KTM 250 SX-F ia dijual pada harga RM335,000 manakala bagi model 350 SX-F pula dijual pada harga RM395,000. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain