suria

Kematian Koh Satu Kehilangan Besar Kepada Dunia Bola Sepak

KUALA LUMPUR: Kematian pengadil bola sepak tempatan bertaraf dunia, Koh Guan Kiat, adalah satu kehilangan besar kepada dunia bola sepak negara ini.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata mendiang merupakan seorang yang gigih dan teliti dalam tugas sama ada ketika menjadi pengadil mahupun selepas bersara sebagai pengadil.

Hamidin yang juga Setiausaha Agung FAS berkata Koh juga amat cintakan bola sepak sehingga sanggup menghabiskan banyak masa dan tenaga dalam usaha meningkatkan mutu pengadilan bola sepak di negara ini.

Koh, 74, meninggal dunia akibat sesak nafas di kediaman anak bongsunya Koh Mew Wan di Kondominium Vista Komanwel, Bukit Jalil, pada 8.05 malam, Jumaat lepas.

Mendiang meninggalkan seorang balu Chiew Soo Duoi dan empat anak, satu lelaki dan tiga perempuan.

Koh, bekas pengadil yang terkenal dengan ketegasannya di era 1970-an, pernah menjadi pengadil Persekutuan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi beberapa perlawanan antarabangsa di Korea Selatan, Jepun, Iran, dan Indonesia.

Beliau memegang jawatan pengerusi Jawatankuasa Lembaga Pengadilan, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sehingga kematiannya.

Mew Wan berkata ayahnya merupakan seorang yang peramah dan begitu komited dalam tugasnya.

"Beliau cukup tegas .. namun mudah mesra dengan sesiapa sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama, Ahad.

Sementara itu, anggota jawatankuasa lembaga pengadilan (FAS) Muhammad Naim Nair Abdullah berkata Koh adalah seorang guru yang baik dan ramai pengadil mendapat tunjuk ajar dari mendiang.

Katanya Koh tidak pernah menunjukkan bahawa beliau sakit dan tidak ramai rakan mengetahuinya.

"Sifat Koh yang mudah mesra menyebabkan ramai di kalangan rakan-rakan dan pengadil merasakan kematian beliau adalah satu kehilangan yang besar," katanya.

Pengadil pertama negara ke Kejohanan Piala Dunia Afrika 2010, Subkhiddin Mohd Salleh yang menganggap mendiang sebagai "papa", berkata Koh banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada pengadil di negara ini.

"Papa tidak pernah menyalahkan pengadil bila berhadapan dengan sesuatu kesukaran sebaliknya beliau memberi nasihat dan dorongan semangat yang sewajarnya kepada kami semua," katanya.

Subkhiddin berkata beliau sering mendapat nasihat dari Koh termasuk ketika menerima tawaran sebagai pengadil Kejohanan Bola Sepak Dunia 2010 baru-baru ini.

"Walaupun ketika itu papa kelihatan lemah, beliau tetap bersemangat untuk memberi nasihat dan semangat kepada saya dan membisik inilah peluang terbaik dan saya perlu buktikan pengadil Malaysia juga adalah antara pengadil terbaik.

"Saya tidak sangka bahawa pelukan pada hari itu adalah yang terakhir daripadanya," katanya.

Beliau berkata nama Koh terkenal sehingga namanya masih menjadi sebutan pengadil dari Jepun dan Korea Selatan.

"Kecekapan dan kepantasannya menghidu kesalahan yang dilakukan oleh pemain ketika beraksi di padang menyebabkan ramai yang kagum dengan beliau," katanya.

Bekas pemain Selangor era 1970-an, Sufardi Rijan, 56, pula berkata Koh adalah seorang pengadil tegas dan digeruni ketika berada di padang.

"Saya masih ingat lagi ketika beraksi di Liga Perdana pada 1974...ketika itu nama Koh cukup terkenal kerana beliau adalah seorang pengadil yang tegas dan cekap di padang tapi mesra di luar padang," katanya Sufardi, 56, juga menganggap Koh legenda pengadil Malaysia dan berharap pengadil-pengadil muda dapat mencontohinya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain