suria

Gimnas Cilik Negara Pertahankan Kejuaraan Angel Cup Buat Kali Keempat

KUALA LUMPUR: Skuad gimnastik junior di bawah umur 15 dan 12 tahun negara terus mengungguli buat kali keempat kejuaraan Gimnastik Piala Angel yang berlangsung di Kompleks Sukan Gimnastik 1, Bukit Jalil yang berakhir, Ahad.

Mereka berjaya menyapu bersih enam pingat emas bagi acara Individual Apparatus dengan gimnas junior negara, Au Wei Ran menyumbang tiga pingat emas dalam tiga disiplin.

Au dari Kelab Unique yang bertanding kategori Junior (bawah 15 tahun) memperolehi 21.816 mata untuk disiplin gelung, bola (22.800) dan belantan (23.650).

Sementara itu, Izzah Amzan yang bertanding dalam kategori pra-junior (bawah 12 tahun) berjaya memungut dua pingat emas menerusi acara tanpa alat dengan 21.416 mata dan gelung (19.600 mata) menewaskan peserta dari Kelab Prahran RG dari Australia dan Kelab Jintana A dari Thailand dalam acara berbeza.

Bagaimanapun dalam acara tali, Izzah tumpas kepada rakan senegara, Iman Iskandar Chan dengan perbezaan 0.408 mata di belakang Iman yang memperolehi pingat emas dengan kutipan 19.633 mata.

Au, 14, yang sangat gembira dengan pencapaiannya hari ini berkata azamnya kini adalah untuk bertanding lebih gigih bagi menjadi taraf pelapis negara satu hari nanti.

"Saya akan cuba untuk meningkatkan lagi prestasi saya," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan gimnastik pelapis negara, Linda Lim Fung Ling yang bangga dengan kejayaan pasukan itu berharap mereka dapat terus mempertahanan gelaran juara pada edisi yang berikutnya.

"Mereka (gimnas negara) berpotensi untuk menjadi atlet negara suatu hari nanti kerana berjaya menunjukkan prestasi yang cukup memberangsangkan.

"Dengan adanya kejohanan seperti ini, bakat-bakat baru yang akan menjadi pelapis kepada skuad gimnastik negara dapt dicungkil," katanya kepada pemberita selepas pertandingan, di sini hari ini.

Kejohanan kali ini menarik minat 17 kelab dari 10 negara termasuk Malaysia, antaranya Cyprus, Uzbekistan, Australia, New Zealand, China, Taiwan, Jepun, Thailand, Indonesia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain