suria

Giggs Simpan Hasrat Pimpin United, Wales

RYAN Giggs (gambar) yang masih memperkuat Manchester United sehingga kini berkata pada Ahad dia mahu mengemudi kelab itu pada masa hadapan.

Giggs, 36, yang beraksi sebanyak 64 kali untuk Wales turut memberitahu dia berminat untuk membimbing skuad kebangsaan sebaik saja kariernya selaku pemain bola sepak profesional menemui noktahnya.

Pemain sayap yang melakukan penampilan pertama bersama United sejak berusia 17 tahun pada 1991 mula memikirkan untuk berjinak-jinak dalam bidang pengurusan seperti yang dilakukan bekas rakan sepasukannya, Steve Bruce, Mark Hughes, Roy Keane dan Bryan Robson.

"Impian saya adalah untuk mengurus sama ada Manchester United atau Wales. Bola sepak amat penting dalam kehidupan saya. Berhenti pada usia 30-an dan tidak melakukan apa-apa amat sukar. Saya yakin ramai pemain menjadi pengurus dan mereka menyukai pekerjaan itu," katanya.

Giggs yang akan menginjak usia 37 tahun pada November ini belum mempertimbangkan untuk bersara sebagai pemain. Sebaliknya dia telah menghabiskan masa selama 20 tahun bersama United dan perkara itu tidak pernah berubah.

"Anda tidak tahu bila saat anda akan ditunjukkan jalan keluar. Ia semudah itu," jelasnya.

Giggs memenangi 11 gelaran juara Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama United dan kejuaraan Eropah sebanyak dua kali.

Dia memperoleh 31 pingat selaku juara dalam kesemua perlawanan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain