suria

Skuad Terjun Negara Jalani Latihan Di Luar Negara

KUALA LUMPUR: Skuad terjun negara kini menjalani latihan selama sebulan di luar negara sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Komanwel di New Delhi, India yang berlangsung mulai 3 hingga 14 Oktober ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) Edwin Chong Ah Kew bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi latihan atas sebab-sebab tertentu.

"Kesemua sembilan atlet terjun, kecuali Pandalela Rinong dan Ooi Tze Liang, akan menjalani latihan sehingga 9 September depan iaitu sebelum menjelang Hari Raya Aidil Fitri," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Pandalela dan Ooi tidak dapat menjalani latihan itu kerana menyertai Sukan Olimpik Remaja 2010 di Singapura yang bermula hari ini hingga 26 Ogos.

Katanya, kos latihan tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negara.

Chong berkata ASUM tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap skuad terjun kerana persaingan bagi acara tersebut amat sengit, terutama dari penerjun berkelas dunia Australia, Kanada dan England.

"Namun begitu, kita harap mereka (atlet negara) mampu membawa pulang sebutir pingat tanpa mengira warna," katanya.

Beliau berkata sandaran terbaik diletakkan kepada atlet wanita yang dilihat mempunyai peluang lebih cerah memenangi pingat berbanding atlet lelaki.

"Saya tidak nafikan terdapat banyak persaingan dalam temasya akan datang, namun pasukan wanita, antaranya Pandalela Rinong, Ooi Tze Liang dan Leong Mun Yee, dilihat mampu menonjolkan diri dalam acara terjun berpasangan 10 meter platform dan papan anjal seirama.

Pada temasya Sukan Komanwel di Melbourne 2006, skuad negara berjaya memperoleh dua pingat perak menerusi Bryan Nickson, James Sandayud (acara 10 meter terjun seirama) dan Yeoh Ken Nee (acara 1 meter papan anjal). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain