suria

Pasukan Formula Future Malaysia Galas Tugas Mencabar Di England

KUALA LUMPUR: Seramai 10 pilot negara terpaksa menempuh jalan sukar di kejohanan Formula Future Dunia yang berlangsung di Carr Mill Dam, St.Helens, Merseyside, England bermula Jumaat hingga Ahad ini. Ketua jurulatih Pasukan Formula Future Malaysia, Syed Abdul Hamid Syed Alwee dalam satu kenyataan berkata isu yang paling ketara yang terpaksa dilalui oleh pasukan negara adalah masa berlatih yang terlalu pendek.

"Pasukan negara hanya diberi peluang oleh pihak penganjur untuk berlatih semasa latihan bebas selama 2 hingga 4 jam sahaja semalam.

"Tambahan pula adalah penggunaan gear di sebelah kiri bot bagi pilot kelas 4 dan 5 menyukarkan pasukan kita kerana kebanyakan bot yang digunakan di Eropah menggunakan spesifikasi gear sebelah kiri. Ini memberi kelebihan kepada mereka dari segi teknik pemanduan," katanya.

Syed Hamid berkata anak didiknya kini mampu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan persekitaran di Merseyside meskipun menjangkakan cuaca yang tidak menentu akan berterusan sehingga hari akhir kejohanan.

"Mereka berada di dalam kesihatan yang terbaik dari segi fizikal, mental dan spiritual walaupun keadaan cuaca yang sejuk dan tidak menentu, dengan hujan dan angin sepanjang hari dengan suhu di sekitar 9-14 darjah selsius," ujarnya.

Beliau berkata pasukan negara diwakili oleh 10 pilot, dua dari setiap kelas yang dipertandingkan iaitu dari kelas 1 hingga 5.

Syed Hamid menjangkakan saingan sengit dan cabaran utama daripada negara-negara seperti Jerman, England dan Rusia.

Rusia merupakan juara dunia Formula Future 2009.

"Jangkaan kedudukan negara hanya mampu diketahui selepas tamatnya disiplin Manouevring yang akan berlangsung hari ini dan ia dijangka diumumkan selepas pukul 6 petang waktu tempatan (1.00 pagi waktu Malaysia)," katanya.

Negara peserta lain ialah Portugal, Republik Czech, Slovakia dan Poland. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain