suria

Lima Pelayar Dipilih Galas Cabaran Negara Ke Sukan Asia 2010

LANGKAWI: Lima pelayar telah dipilih untuk menggalas cabaran negara pada Sukan Asia 2010 di Guangdong Ocean Sports Training Centre GOSTC) Shanwei, China bermula 12 hingga 27 November depan.

Mereka ialah Mohd Masyuri Rahmat (ketua), Mohamad Farizul Md Rejab, Ahmad Fakhrizan Deraman, Mohd Adid Mohd Ariff, dan Mohd Karimi Bakar, kesemua dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pengurus besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA), Mohd Afendy Abdullah berkata mereka akan bersaing dalam kategori Keelbot mengandungi lima pelayar bagi satu pasukan.

Pemilihan pelayar TLDM itu dibuat dalam ujian yang disertai enam pasukan di Lumut, Perak baru-baru ini, kata Mohd Afendy.

Katanya, MYA sedang mengadakan pemilihan berperingkat memilih pelayar bagi kategori Optimist, Laser Standard, International 420 dan 470 serta Laser Radial ke kejohanan itu yang dijangka diputuskan tidak lama lagi. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain