suria

Latihan Di Bath University Sebagai Persediaan Kejohanan Piala Dunia

KUALA LUMPUR: Perbelanjaan skuad badminton negara di Pusat Latihan Prestasi Tinggi (PLPT) di University of Bath, England hanya berjumlah RM78,000 dan bukan ratusan ribu ringgit seperti yang dilapor media.

Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata jumlah itu adalah untuk 10 hari, meliputi keperluan semua 20 pemain dan jurulatih skuad sebelum mereka beraksi di kejohanan Piala Dunia di Paris, Perancis pada 23 hingga 28 Ogos ini.

"PLPT di University of Bath membolehkan pemain-pemain membiasakan diri dengan keadaan cuaca di sana serta menggunakan kemudahan sains sukan yang terdapat di universiti tersebut.

"Ini berikutan Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Malaysia dan universiti tersebut pada Mei lepas," katanya kepada pemberita, di sini, Khamis.

Perjanjian tersebut katanya, membolehkan skuad negara menikmati kadar penginapan, pengangkutan dan makan minum yang lebih murah seperti yang dinikmati oleh mahasiswa di universiti tersebut.

Mengenai hasrat jurulatih pemain perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek untuk meneruskan latihan bersama pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei di negara ini, Dr Ramlan berkata terpulang kepada mereka untuk berbuat demikian.

"Misbun sebelum ini ada meminta pengecualian daripada sesi latihan di Bath University, atas alasan peribadi, dan ISN menghormatinya.

"Terbaru, beliau bersetuju untuk mengadakan latihan di universiti tersebut, mungkin dalam jangka waktu yang pendek sebelum ke Paris," katanya.

Dr Ramlan berkata PLPT di Bath University bukannya untuk sukan badminton sahaja tetapi untuk pelbagai jenis sukan terutama sukan yang mempunyi kejohanan serta latihan di Eropah. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain