suria

"Sekiranya Diperlukan, Saya Akan Terus Bersama PHM," Tengku Abdullah

KUALA LUMPUR: Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bersedia untuk terus membimbing PHM sekiranya beliau masih dipilih untuk memegang tampuk kepimpinan persatuan berkenaan.

"Saya sedia untuk mempertahankan jawatan presiden selagi masih ada pencalonan. Namun saya sedia untuk mengundurkan diri jika ada calon yang lebih berkelayakan dan lebih baik dan mampu untuk membimbing PHM," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan perjanjian persefahaman antara PHM dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai penaja utama Kejohanan Liga Hoki Malaysia 2010 yang akan bermula 3 Dis depan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim.

Tengku Abdullah berkata misi beliau dalam PHM adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai pasukan hoki terbaik di Asia.

"Walaupun kita kini telah berjaya berada di ranking keempat terbaik Asia, untuk menjadi pasukan yang terbaik, keupayaan skuad hoki kebangsaan perlulah setanding dengan pasukan Korea Selatan, India, Pakistan dan Jepun," katanya.

Tengku Abdullah berkata di bawah "Program Satu Emas" yang dianjurkan oleh PHM pada tahun ini, Malaysia kini mempunyai dua pasukan remaja bawah 14 tahun dan bawah 16 tahun yang akan menjadi pelapis kepada skuad kebangsaan.

"Dengan adanya dua pasukan pelapis ini kita dapat bergerak dengan lebih cemerlang untuk masa hadapan ataupun setidak-tidaknya dapat kekalkan kedudukan sekarang," katanya.

Mengenai penajaan TNB dalam Liga Hoki Malaysia, Tengku Abdullah berkata PHM berbesar hati dengan syarikat utiliti itu untuk terus menjadi penaja dan terbaru, TNB juga bersetuju memberikan sumbangan RM1.5 juta kepada PHM.

"Sumbangan TNB dalam sukan hoki cukup besar sejak dari dahulu lagi, Saya harap TNB bukan hanya memberi sumbangan dari segi dana malah turut sama mampu melahirkan pemain-pemain yang berbakat," katanya.

Beliau berkata dengan adanya dana yang mencukupi PHM mampu bergerak dengan lebih luas lagi agar mampu melahirkan lebih ramai bakat hoki satu masa nanti. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain