suria

Skuad Formula Future Berlepas Ke England

KUALA LUMPUR: Skuad Formula Future negara yang terdiri daripada 10 pilot dan 10 pegawai berlepas ke England bagi menyertai Kejohanan Formula Future Dunia di Carr Mill Dam, Merseyside dari 13 hingga 15 Ogos ini.

Kesemua mereka berlepas ke England dengan penerbangan yang ditaja AirAsia dari Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) di Sepang, Isnin.

Turut menghantar mereka di LCCT ialah pengarah urusan H2O Sports Datuk Yahya A. Jalil dan wakil-wakil daripada Kementerian Belia dan Sukan, dan Perbadanan Putrajaya.

Untuk rekod, Malaysia pernah menjuarai Kejohanan Formula Future Dunia empat kali iaitu di Lisbon, Portugal pada 2004 dan 2005, Leer, Jerman (2007) dan Ravenna, Itali (2008).

"Latihan intensif selama 10 hari yang dijalani oleh pilot-pilot ini di Majlis Sukan Negara (MSN) banyak membantu mereka melengkapkan diri dari segi mental dan fizikal," kata Yahya dalam satu kenyataan.

"Jurulatih dan pegawai-pegawai yang mengiringi mereka ke England akan terus memberikan mereka petunjuk dan bimbingan agar mereka berjaya membawa pulang kejayaan buat kali kelima," tambahnya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain