suria

Pelumba Negara Juara Acara Merentas Desa Cabaran Basikal Bukit Langkawi

LANGKAWI: Pelumba basikal kebangsaan Masziyaton Mohd Radzi muncul juara acara merentas desa Kategori Wanita Elit pada kejohanan Cabaran Basikal Bukit Aantarabangsa Langkawi TM 2010 di Tok Senik di sini manakala Lachlan Norris dari Australia menjuarai Kategori Elit Lelaki.

Masziyaton, 22, berjaya mengatasi cabaran sengit daripada Kusmawati Yazid dari Indonesia dan Nguyen Thanh Dam dari Vietnam sepanjang laluan lebih 4.3km itu untuk menjulang gelaran itu.

Kusmawawati menduduki tempat kedua manakala Nguyen di tempat ketiga.

"Perlumbaan di sini amat mencabar dan tracknya cukup bagus untuk mempersiapkan saya bagi menghadapi Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Korea bulan depan.

"Selain itu saya mensasarkan untuk berada dalam kedudukan lima terbaik pada Sukan Asia 2010 bagi acara merentas desa ini," katanya kepada pemberita semasa ditemui selepas perlumbaan itu.

Sementara itu, Norris menewaskan pelumba Indonesia, Bandi Sugito yang meraih tempat kedua dan pelumba Malaysia, Mohd Hafiz Rozli (tempat ketiga) dalam perlumbaan lapan pusingan.

Norris, 23, berkata perlumbaan itu amat mencabar berikutan Bandi telah memberikan saingan sengit dari awal lagi.

"Dia berjaya memotong saya beberapa kali di kawasan pendakian. Beliau mendaki dengan amat baik. Saya hanya berjaya memotongnya pada dua pusingan terakhir. Saya harap esok (perlumbaan lasak) saya mampu mengekalkan momentum yang sama," katanya.

Sementara itu, Bandi berkata Norris adalah pencabar yang terlalu kuat untuk dicabar dan mereka bersaing sengit sepanjang perlumbaan itu yang berjalan di atas laluan yang licin dan mencabar.

"Dia lebih kuat. Dua pusingan terakhir saya kehilangan tenaga. Bagaimanapun, saya mencuba yang terbaik," katanya.

Bagi Mohd Hafiz, yang muncul pelumba tempatan terbaik kategori elit lelaki, beliau tidak menyangka dapat berada pada kedudukan ketiga kerana hanya mensasarkan untuk menjadi pelumba tempatan terbaik tetapi pada saingan hari ini beliau dapat membuat kayuhan yang baik.

"Saya bersaing dengan seorang pelumba Vietnam untuk tempat ketiga. Dua pusingan terakhir saya dapat menjarakkan diri dan saya kekalkan kayuhan saya. Waktu itu pelumba di tempat pertama dan kedua sudah jauh di depan," katanya.

Kejohanan akan diteruskan dengan perlumbaan lasak di Harbour Park, Ahad. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain