suria

Norris, Masziyaton Menang Berganda Pada LIMBC 2010

LANGKAWI: Pelumba Australia Lachlan Norris dan pelumba negara Masziyaton Mohd Radzi meraih gelaran berganda masing-masing dalam acara lelaki dan wanita pada Cabaran Bsikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) 2010 di sini.

Pada saingan Ahad, Norris dan Masziyaton memenangi acara perlumbaan lasak di Telaga Harbour Park di sini selepas kedua-dua mereka menjuarai acara merentas desa di Tok Senik di sini.

Pada perlumbaan hari ini, Masziyaton menewaskan Nguyen Thanh Dam dari Vietnam manakala seorang lagi pelumba tempatan Nursyuhaini Othman menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan selama empat jam itu.

Masziyaton, 22, berkata dia tidak mensasarkan untuk muncul juara mana-mana kategori bagi mengelakkan tekanan dan hanya mencuba yang terbaik.

"Dalam perlumbaan hari ini saya mendahului dari awal. Saya berjaya mengekalkan kayuhan saya...cuma saya tak tahan kerana kena berkayuh empat jam dan inilah paling lama saya berkayuh," katanya kepada pemberita selepas perlumbaan itu.

Beliau, yang mensasarkan untuk layak ke Sukan Olimpik 2012, berkata ini adalah kali pertama dia menyertai acara lasak dan sebelum ini lebih menumpukan kepada acara merentas desa atau acara lebuh raya.

Dalam pada itu, Norris menewaskan dua pelumba negara Shahrin Amir dan Nor Shahril Aizat Nazali pada perlumbaan enam jam itu.

Shahrin dan Nor Shahril masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dalam acara lelaki itu.

"Saya tidak biasa dengan jarak jauh dan saya berjaya meninggalkan jauh pencabar lain pada beberapa pusingan yang terakhir. Selepas ini, saya tidak akan beri tumpuan kepada acara lasak," kata Norris.

Sekiranya acara ini diadakan secara tahunan, saya akan mempertahankan kedua-dua gelaran ini tahun depan, katanya.

Shahrin, 28, berkata setelah hanya menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 dalam acara kegemarannya, merentas desa, dia terpaksa berlumba dalam keadaan kaki berbalut tetapi gembira kerana berjaya menduduki tempat kedua.

"Sejak mula saya berada pada kedudukan kedua dan saya berjaya mengekalkan kedudukan hingga tamat saingan. Mungkin kerana semalam saya tidak begitu beraksi membolehkan saya memberikan persembahan terbaik hari ini," katanya.

Sementara itu, juara dunia dalam acara lasak, Morgan Pilley, tidak bernasib baik kerana mengalami kebocoran tayar dalam acara lasak selepas menghadapi masalah dengan rantai basikal.

"Saya masih belum dapat menyesuaikan diri dengan cuaca dan laluan. Saya harap dalam kembali tahun depan dan pasti akan kembali lebih awal untuk menyesuaikan diri," katanya.

KEPUTUSAN: ACARA LASAK

LELAKI:

1. Lachlan Norris (AUS), 2. Shahril Amir (MAS), 3. Nor Shahril Aizat Nazali (MAS).

WANITA:

1. Masziyaton Mohd Radzi (MAS), 2. Nguyen Thanh Dam (VIE), 3. Nursyuhaini Othman (MAS).

Artikel Sebelum

Artikel Lain