suria

Gimnas Elaine Koon Terima Insentif RM16,000

Pasukan gimnas artistik Selangor, James Ng (tujuh dari kiri) menerima insentif daripada Tan Sri Khalid Ibrahim (enam dari kiri). - Foto THE STAR Oleh RICKY LAI
Pasukan gimnas artistik Selangor, James Ng (tujuh dari kiri) menerima insentif daripada Tan Sri Khalid Ibrahim (enam dari kiri). - Foto THE STAR Oleh RICKY LAI
Pasukan gimnas artistik Selangor, James Ng (tujuh dari kiri) menerima insentif daripada Tan Sri Khalid Ibrahim (enam dari kiri). - Foto THE STAR Oleh RICKY LAI

SHAH ALAM: Gimnas kebangsaan, Elaine Koon muncul penerima insentif individu terbanyak ekoran prestasi cemerlangnya menghadiahkan empat pingat emas dan satu pingat perak buat kontinjen Selangor pada kejohanan Sukan Malaysia 2010 (Sukma) di Melaka, Jun lalu.

Insentif yang disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khalid Ibrahim pada Majlis Penghargaan Kontinjen Sukma Selangor Ke-13, di Dewan Raja Muda Musa di sini, menyaksikan Elaine membawa pulang wang tunai berjumlah RM16,000.

"Saya amat gembira kerana menerima insentif terbanyak ini. Kejayaan di Melaka, Jun lalu memang diluar jangkaan saya. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Majlis Sukan Negeri Selangor, pengurus pasukan dan juga jurulatih di atas segala sokongan dan tunjuk-ajar," kata atlet berusia 17 tahun itu ketika ditemui media di sini, Rabu.

Menurut Elaine, kejayaan luar jangkaan pada Sukma, Jun lalu sedikit sebanyak menyuntik semangatnya untuk meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas dalam acara gimrama pada Sukan Komanwel di New Delhi, India, Oktober ini.

"Ia adalah penampilan pertama saya pada Sukan Komanwel, jadi saya hanya menyasarkan satu pingat emas. Tidak dinafikan saya sedikit tertekan dalam mempersiapkan diri untuk kejohanan itu, tetapi saya tetap yakin dan akan melakukan yang terbaik untuk negara," jelasnya.

Bagi kategori berpasukan pula, skuad gimnastik artistik membawa pulang insentif berjumlah RM72,000 di atas kejayaan merangkul lima pingat emas, dua perak dan lima gangsa untuk acara individu dan berpasukan pada temasya dwi tahunan itu.

Selain gimrama, acara gimnastik artistik merupakan penyumbang pingat utama untuk kontinjen Selangor yang menduduki tempat kedua dengan pungutan pingat sebanyak 43 emas, 43 perak dan 58 gangsa.

Pengurus pasukan, James Ng menyifatkan insentif itu sebagai suntikan semangat buat skuad gimnastik artistik dalam usaha untuk membolot lebih banyak pingat dalam kejohanan akan datang.

"Secara keseluruhan, pencapaian kami begitu memberangsangkan jika dibandingkan dengan edisi dua tahun lalu. Jumlah kutipan pingat itu menepati sasaran kami. Tahun ini kami dinobatkan selaku pasukan terbaik dan berjaya mengetepikan cabaran skuad renang," jelasnya.

Untuk penyampaian insentif tahun ini, kerajaan negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM872,500 sebagai penghargaan kepada pemenang-pemenang di Sukma Melaka 2010 yang berlangsung 10 hingga 19 Jun lalu.

Artikel Lain