suria

Selangor Beri Kemenangan Mudah 2-0 Kepada Kedah

KUALA LUMPUR: Juara Liga Super Selangor hanya tampil sekadar melengkapkan jadual perlawanan apabila tewas 0-2 kepada Kedah pada perlawanan penutup di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi.

Persembahan sambil lewa Selangor bagaimanapun gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kedah yang kelihatan buntu akibat mensia-siakan tidak kurang lima peluang terbaik pada separuh masa pertama untuk menambah jaringan.

Penyerang, Mohd Faizal Abu Bakar menyumbat gol pertama Kedah pada minit kesembilan manakala Badrol Bakhtiar menewaskan penjaga gol Selangor, Mohd Iqbal Mohd Suhimi sekali lagi hasil rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-70.

Walaupun tidak bermain bersungguh-sungguh, barisan Selangor berupaya menghasilkan beberapa percubaan merbahaya pada babak kedua terutama selepas Kedah menyumbat gol kedua.

Percubaan pemain gantian Selangor, Liew Kit Kong pada minit ke-47 diselamatkan pemain pertahanan, Khairul Helmi Johari selepas penjaga gol, Mohd Helmi Elias tewas sementara percubaan Mohd Fazilidin Khalid pada minit ke-73 terkena tiang gol.

Sementara itu, naib juara bagi musim ini Kelantan hanya sekadar berkongsi mata dengan T-Team apabila kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan di Stadium Sultan Muhamed IV, Kota Bharu.

Terengganu yang menduduki tangga ketiga liga pula mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas KL Plus di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pahang berjaya menumpaskan Johor FC 3-0 di Stadium Darul Makmur dan Perak juga mencatat kemenangan 4-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Perak.

Turut meraih kemenangan pada perlawanan ini ialah Perlis yang menang tipis 2-0 dengan Negeri Sembilan di Stadium Utama Negeri, Kangar.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bharu, pasukan tuan rumah Johor tewas 0-1 di tangan pasukan Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Torres Kekal Di Anfield

Artikel Berikut

Artikel Lain