suria

Sasaran Lotus Racing Tetap Sama Musim Ini Kata Peneraju Pasukan

PETALING JAYA: Kejohanan Formula Satu (F1) Grand Prix Dunia 2010 yang sudah melalui fasa pertengahan musim mungkin menyaksikan perubahan dalam senarai kedudukan pelumba tetapi sasaran pasukan Malaysia, Lotus Racing tetap tidak berubah.

Sasaran pasukan negara sejak musim 2010 bermula adalah untuk muncul antara yang terbaik di kalangan pasukan baru yang bersaing pada musim ini.

"Dari awal lagi, kami tidak pernah berkata kami akan mendapat mata perlumbaan atau tempat di podium. Kami kata kami akan menjadi pasukan terbaik di kalangan pasukan baru.

"Tahun ini adalah sukar bagi kami," kata peneraju pasukan Datuk Seri Tony Fernandes, ketika ditanya oleh Bernama pada sesi bertemu media di sini, Isnin.

Membandingkan pencapaian semasa dengan pasukan baru lain, Virgin dan Hispania, Fernandes berkata pasukannya telah melakukan pencapaian besar.

"Bagi Lotus, ianya pencapaian besar dalam tempoh tujuh bulan...kami hanya di belakang pasukan Force India dan Sauber dan lain-lain.

"Kami jauh meninggalkan pasukan baru lain yang mempunyai masa panjang untuk membangunkan kereta mereka berbanding kami. Ini menunjukkan Malaysia boleh bersaing dengan pasukan lain dalam dunia walaupun kami hanya mempunyai tempoh singkat iaitu antara tujuh dan lapan bulan untuk membuat persediaan," katanya.

Lotus Racing menikmati pencapaian cemerlang pada Grand Prix Hungary semalam dengan pelumba pasukan itu, Heikki Kovalainen dari Finland menduduki tempat ke-14 diikuti pelumba sepasukan Jarno Trulli dari Itali.

Pasukan negara itu akhirnya memperkukuhkan kedudukan teratas di carta pasukan baru sebelum musim berhenti rehat sebelum disambung semula pada Grand Prix Belgium dari 27 hingga 29 Ogos ini.

Selain Grand Prix Belgium, pasukan Lotus Racing akan mengambil pada enam lagi pusingan termasuk pusingan penamat musim di Grand Prix Abu Dhabi dari 12 hingga Nov 14 ini.

"Saya yakin kami akan muncul sebagai pasukan baru yang terbaik musim ini. Musim depan, kami akan berada dalam kumpulan pertengahan...kami tidak menjangka kedudukan podium tetapi mendapatkan mata adalah sesuatu yang kami boleh capai," kata Fernandes.

Katanya bagi musim ini, hanya nasib boleh menentukan sama ada pasukan itu boleh mencapai mata sulungnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Torres Kekal Di Anfield

Artikel Berikut

Artikel Lain