Pemimpin FAM Diminta Lepaskan Jawatan Peringkat Negeri - Sukan | mStar

Pemimpin FAM Diminta Lepaskan Jawatan Peringkat Negeri

IPOH: Bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, Selasa menggesa anggota jawatankuasa FAM yang terpilih dalam kongres tahunan minggu lalu melepaskan jawatan masing-masing di peringkat negeri bagi memberi tumpuan kepada pembangunan sukan itu di peringkat kebangsaan.

Beliau berkata dengan cara itu mereka akan dapat memberikan lebih masa dan komitmen untuk menyempurnakan azam bekerja keras dalam memajukan sukan tersebut dan menjadikannya sebagai agenda nasional.

"Hampir kesemua yang terpilih dalam pemilihan minggu lalu mempunyai jawatan yang disandang di peringkat negeri...kita tidak mahu jawatan tersebut mempengaruhi keputusan yang dibuat di peringkat nasional," kata Raja Ahmad kepada pemberita di sini, Selasa.

Hanya Presiden FAM Sultan Ahmad Shah, Timbalan Presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Naib Presiden FAM Datuk Subahan Kamal, dan Datuk Afandi Hamzah tidak mempunyai jawatan di peringkat negeri.

Seramai 38 ahli FAM telah menentukan barisan kepimpinan badan induk itu pada Kongres Tahunan ke-47 Sabtu lalu.

Ahli-ahli tersebut mewakili 19 badan gabungan FAM termasuk dua wakil dari setiap badan gabungan baru, Persatuan Bolasepak Melayu, Persatuan Bolasepak Cina dan Persatuan Bolasepak India. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain