suria

Renangan Persahabatan Malaysia-Indonesia Seberang Teluk Cowie Esok

TAWAU: Seorang lelaki rakyat Indonesia akan melakukan renangan solo persahabatan Malaysia-Indonesia merentasi Teluk Cowie esok sempena sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia ke-65.

Jurucakap Pejabat Konsul Indonesia di sini W. R. Hendro berkata Ibrahim Rusli, 45, dari Tarakan, Kalimantan Timur, Indonesia akan memulakan renangan dari Sungai Nyamuk, Pulau Sebatik, Indonesia pada jam 10 pagi dan dijangka tiba di Batu-Batu, Tawau, Malaysia pada jam 1 tengahari.

"Ini merupakan satu inisiatif untuk mengukuhkan tali persahabatan antara Indonesia dan Malaysia. Ini juga merupakan satu kempen untuk masyarakat kedua-dua negara supaya bersama-sama memelihara kebersihan laut kita," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Menurut Hendro renangan solo sejauh kira-kira lapan kilometer oleh Ibrahim, seorang kakitangan awam kerajaan Indonesia, dianjurkan dengan kerjasama pihak berkuasa Malaysia.

Katanya selain pernah mendaki Gunung Kinabalu pada Julai tahun 2006, Ibrahim juga pernah melakukan renangan solo di beberapa tempat di Kalimantan Timur termasuk berenang daripada Tanjung Selor ke Tanjung Palas sejauh 10 kilometer.

Ibrahim juga pernah melakukan renangan solo dari Tanjung Selor ke Teras Baru sejauh 10 kilometer dan dari Tanjung Selor ke Desa Salimbatu sejauh 12 kilometer.

"Kita memang menyambut baik initiatif untuk berenang oleh warga Indonesia ini yang memerlukan kesihatan, stamina serta fizikal yang baik. Kita berharap ini akan menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk mencintai sukan laut.

"Kita juga berharap renangan ini akan menjambatani hubungan akrab dan persahabatan yang sedia terjalin antara rakyat kedua-dua negara," kata Hendro.

Sementara itu, ketibaan perenang solo Indonesia berkenaan di Batu-Batu esok dijangka disambut oleh Presiden Majlis Perbandaran Tawau Ismail Mayakub.

Artikel Lain