suria

Pimpinan Baru FAM Mampu Bawa Model Baru Bola Sepak Tanah Air - Shabery Cheek

BANDUNG (Indonesia): Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tan Sri Annuar Musa yang dipilih sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersama barisan pimpinan baru persatuan itu mampu membawa model baru kepada perjalanan bola sepak tanah air.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek yang menganggap keputusan pemilihan itu sebagai sesuatu yang baik kepada perkembangan sukan bola sepak negara, percaya Tengku Abdullah yang merupakan tokoh cergas, aktif dan disegani, dapat membantu program pembangunan bola sepak seperti mana yang beliau tunjukkan sebagai pemimpin persatuan hoki negara.

"Kementerian telah menubuhkan jawatankuasa bola sepak, kami merancang untuk membangunkan beberapa akademi bola sepak seperti di Pahang, Wilayah Persekutuan, Melaka dan Johor. Kita perlukan pusat satelit dan ia memerlukan persetujuan FAM," katanya di sini ketika mengulas mengenai keputusan pemilihan FAM bagi penggal 2010/2014, Sabtu.

Tengku Abdullah kembali ke pangkuan FAM selepas dipilih sebagai Timbalan Presiden bersama Annuar.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah mengekalkan jawatan presiden yang disandang baginda sejak 1984, apabila menang tanpa bertanding selepas pencalonan ditutup 18 Julai lalu.

Penyandang jawatan timbalan presiden sebelum ini, Khairy Jamaluddin tidak mempertahankan jawatannya sementara Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad tewas dalam pemilihan itu.

Dua lagi calon bagi jawatan timbalan presiden yang tewas ialah Datuk Che Mat Jusoh dan Datuk Abdul Mokhtar Ahmad.

Bagi jawatan naib presiden, Datuk Afandi Hamzah muncul satunya-satu penyandang yang berjaya mempertahankan jawatan.

Namun Datuk Subahan Kamal mendahului pemenang dengan undi tertinggi 28 undi, diikuti Datuk Hamidin Mohd Amin (27 undi), Afandi (20) dan Datuk Seri Abdullah Hishan Mohd Hashim (19).

Ahmad Shabery berkata Annuar telah menunjukkan rekod cemerlang ketika memimpin Persatuan Bola Sepak Kelantan dan telah mencetuskan beberapa model baru dalam arena bola sepak negara.

"Dulu bola sepak terlalu bergantung kepada kerajaan, ternyata beberapa model telah menggerakkan masyarakat Kelantan mempunyai akademi sendiri, program waktu cuti untuk hantar anak-anak bermain bola, menyemarakkan sokongan masyarakat, penjualan barangan serta memperkenalkan konsep penjenamaan.

"Ini suatu perkara baru yang tak ada di mana-mana," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain