suria

Senarai Gimnas Ke Sukan Komanwel Diketahui Ahad

KUALA LUMPUR: Senarai penuh atlet gimnastik negara ke Sukan Komanwel di New Delhi, India hanya akan diketahui esok selepas tiga ahli gimnas negara gagal menghadiri sesi pemilihan pada Sabtu ekoran kecederaan.

Menurut Setiausaha Agung Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) N. Shanmugarajah, hanya empat gimnas yang menyertai pemilihan.

"Jawatankuasa pemilihan akan membuat keputusan Ahad mengenai pemilihan pasukan negara yang terdiri daripada empat hingga lima gimnas, jurulatih dan anggota sokongan.

"Jawatankuasa ini akan meneliti senarai ranking dan keputusan pemilihan sebelum ini serta cadangan daripada pengurus pasukan sebelum diluluskan oleh panel pemilihan MGF," katanya kepada Bernama.

Tiga gimnas yang tidak menghadiri pemilihan hari ini ialah Mohd Azlan Shah, Mohd Shahril Johari dan Azam Azimi.

Empat gimnas yang hadir itu telah mengambil bahagian dalam semua enam acara iaitu floor exercise, pommel horse, vaulting, parralel bar, high bar dan ring.

Mengetuai senarai ialah Lum Wan Foong yang memungut 82.100 mata, Onn Kwang Tung (77.500), Mohd Irwan Miskob (73.100) dan Wan Mohamad Akmal Hakim (70.350).

Wan Foong, 24, menyertai sukan gimnastik sejak berumur sembilan tahun dan baru menamatkan pengajian Pentadbiran Perniagaan di Universiti Putra Malaysia.

Beliau dari Taiping, Perak memenangi tiga emas, satu perak dan satu gangsa dalam Olimpik Mini 2008 di Bukit Jalil dan pernah menyertai dua kejohanan antarabangsa tahun ini iaitu Kejohanan Gimnastik Piala Dunia di Doha dan Kejohanan Gimnastik Rantau Pasifik di Melbourne, Australia.

Artikel Sebelum

Artikel Lain