suria

PLBT Mahu Guna Jurulatih Asing Latih Pasukan Profesional Terengganu

KUALA TERENGGANU: Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) berhasrat menggunakan khidmat jurulatih asing bagi melatih pasukan lumba basikal profesional Terengganu yang bakal ditubuhkan dalam masa terdekat ini.

Yang Dipertuanya Datuk Ahmad Sidi Ismail berkata hasrat persatuan menggunakan khidmat jurulatih asing itu selari dengan status pasukan tersebut.

"Pencarian jurulatih ini sebagai langkah pertama PLBT kearah merealisasikan hasrat tersebut," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai penubuhan pasukan itu.

Semalam, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berkata kerajaan negeri bersetuju menubuhkan pasukan lumba basikal profesional Terengganu dan pelumba akan ditawarkan gaji tetap.

Mengulas selanjutnya, Ahmad Sidi berkata sekarang ini pihaknya sedang menyelidik untuk mencari jurulatih yang sesuai bagi membimbing pasukan Terengganu.

Ahmad Sidi berkata langkah kedua sebelum menubuhkan pasukan itu ialah mengenal pasti pelumba-pelumba yang bakal diserapkan dalam pasukan itu.

Beliau berkata Terengganu mempunyai ramai pelumba berbakat dan berwibawa dalam dan luar negara yang mampu memperkuatkan pasukan itu.

Pelumba-pelumba itu termasuklah Anuar Manan, Azizul Hasni Awang, Mohd Adiq Husainie Othman, Mohd Ariff Salleh, Mohd Saufi Senan, Sobri Abdullah dan Mohd Shahrul Mat Amin.

Ahmad Sidi berkata buat permulaan, pasukan tersebut akan diletakkan di bawah pengurusan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan acara pertama yang akan disertainya ialah Le Tour De Langkawi pada Febuari tahun depan.

Beliau berkata pelumba-pelumba yang terpilih mengangotai pasukan tersebut perlu berhenti dengan pasukan yang disertai untuk berkhidmat sepenuh masa dengan pasukan Terengganu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain