suria

Pelumba Le Tua Kuasai Siri Pertama Grand Prix Lumba Basikal Kebangsaan

JITRA: Pelumba pasukan Le Tua, Adrian Chuah muncul juara kategori lelaki terbuka pada Siri 1 Grand Prix Lumba Basikal Kebangsaan yang diadakan di Taman Tema Air Darul Aman, Bandar Darulaman di sini, Sabtu.

Adrian mencatatkan masa empat jam 45 minit dan 41 saat (4:45:41s) dalam perlumbaan melibatkan jarak 198 km, dalam tiga pusingan dengan satu pusingan 66 km.

Dalam perlumbaan hari ini, Adrian diberikan tentangan sengit oleh rakan sepasukannya Mohd Hafiz Rosli yang menduduki tempat kedua dan pelumba di tempat ketiga Mohd Fadzli Anuar Mohd Fauzi yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dengan kedua-dua mereka mencatatkan masa 4:45:49s.

Sementara itu, bagi kategori Wanita Terbuka, Noor Azian Alias yang mewakili Johor muncul pemenang dengan catatan masa 4:04:06s, mengetepikan pelumba Kedah Masziyaton Mohd Radzi yang menduduki tempat kedua dengan catatan masa yang sama.

Tempat ketiga dimenangi oleh seorang lagi pelumba Kedah Nursyuhaini Othman dengan catatan masa 4:05:05. Perlumbaan bagi kategori Terbuka Wanita melibatkan jarak 132 km iaitu dua pusingan.

Kejohanan ini melibatkan lima kategori iaitu Terbuka Lelaki, Lelaki Bawah 18 Tahun (132km), Lelaki Bawah 14 tahun (66km) dan Lelaki Veteran (66km) serta Terbuka Wanita.

Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Grand Prix Lumba Basikal Kebangsaan yang pertama kali dianjurkan oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tahun ini menyaksikan penyertaan pelumba-pelumba basikal dari negeri-negeri serta atlet-atlet lumba basikal yang mempunyai lesen.

Grand Prix Lumba Basikal Kebangsaan adalah perlumbaan basikal one day race yang diadakan dalam lima siri melibatkan lima lokasi berasingan dengan Siri 1 di Kedah, Siri 2 di Johor, Siri 3 di Terengganu, Siri 4 di Sarawak dan Siri 5 di Selangor.

Pengerusi Pembangunan Lebuhraya PKBM Amrun Misnoh berkata objektif perlumbaan sirkit kebangsaan itu adalah untuk menjadikannya platform kepada pelumba mengumpul mata sepanjang tahun di samping mengenalpasti pelumba terbaik tempatan.

Katanya perlumbaan sirkit kebangsaan ini boleh menjadi acara pemanas badan kepada pelumba-pelumba negara sebelum menyertai kejohanan Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

"Di samping itu juga, sirkit kebangsaan ini bertujuan mengenalpasti pelumba-pelumba yang bakal mewakili negara dalam kejohanan Le Tour de Langkawi tahun hadapan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain