suria

Sukan Air Kedah Kali Ke-79 Rabu Ini

ALOR SETAR: Kedah akan menganjurkan Temasya Sukan Air 2010 kali ke-79 bertempat di Tanjung Chali dekat sini Rabu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan, Kebudayan, Dr Hamdan Mohamed Khalib berkata Sukan Air itu diadakan sempena sambutan keputeraan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'dzam Shah yang ke-82.

Terdapat tiga acara pertandingkan yang akan diadakan melibatkan 17 kategori iaitu kenu, perahu naga dan perahu panjang, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

"Temasya kali ini lebih menarik dan berlainan daripada tahun-tahun lepas kerana mendapat kerjasama Tentera Darat Diraja Malaysia 10 Briged Para Kem Terendak, Melaka.

"Mereka akan membuat persembahan pembukaan melalui udara yang melibatkan helikopter dan payung terjun, darat dan air yang akan mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 minit," katanya.

Hamdan berkata pertandingan kenu merupakan acara baru yang tidak dipertandingkan sebelum ini.

"Hadiah keseluruhan bernilai RM55,000 menanti para peserta dan daripada jumlah ini sebanyak RM26,000 adalah sumbangan daripada Sultan Kedah," katanya.

Sebanyak 34 kumpulan melibatkan kira-kira 1,000 peserta telah mengesahkan penyertaan bagi ketiga-tiga acara tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain