suria

Malaysia Boleh Punyai Pasukan Match Racing Menjelang 2014 - Gilmore

PUTRAJAYA: Malaysia boleh mempunyai pasukan Match Racing Team untuk bertanding dalam kejohanan pelayaran World Match Racing Tour menjelang 2014, kata penasihat kejohanan Piala Monsun, Datuk Peter Gilmore.

Beliau berkata walaupun "match racing" masih baru di negara ini, ia semakin mendapat perhatian sejak Piala Monsun diperkenalkan pada 2005.

"Bagaimanapun, fokus utama ialah mengasah bakat muda dalam sukan ini. Sebab itu dengan mempunyai Sekolah Pelayaran Monsun dan jurulatih profesional amat penting bagi pelayar negara," katanya semasa melancarkan Sekolah Pelayaran Monsun (MSS) di sini hari ini.

Beliau berkata MSS juga berobjektif menjadikan sukan itu sebagai satu industri dan merancakkan aktiviti ekonomi dalam industri marin, iaitu pembuatan bot dan kemudahan baik pulih.

Sejumlah 25 pelayar Malaysia, dua pelayar Filipina dan tiga pelayar Turki mengambil bahagian dalam klinik pelayaran selama empat hari itu. Sepuluh daripada peserta Malaysia itu merupakan pelayar elit yang dipilih Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA). - BERNAMA

Artikel Lain