suria

Maradona Akhirnya Dipecat

TEKA-TEKI berhubung jawatan Diego Maradona (gambar) selaku Pengurus Argentina akhirnya terjawab selepas Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) mengundi sebulat suara untuk tidak memperbaharui kontraknya.

Masa depan Maradona mulai samar sejak Argentina tewas 0-4 kepada Jerman pada aksi suku akhir Piala Dunia di Afrika Selatan, bulan ini.

"Mereka perlu melakukan beberapa perubahan dalam kalangan kakitangan Maradona dan kami tidak mencapai kata sepakat. Tiada siapa dipecat tetapi kontrak tidak diperbaharui," kata Ketua AFA, Julio Grondona.

Argentina gagal menepati ramalan untuk mengisi slot ke final Piala Dunia selepas tersingkir lebih awal disusuli persembahan hambar pada kempen kelayakan perlawanan itu.

Namun, Maradona masih diangkat sebagai hero apabila skuad kendaliannya kembali ke Argentina dan Presiden Cristina Fernandez mahu dia kekal sebagai pengurus pasukan itu.

Puluhan peminat berkumpul di luar bangunan ibu pejabat AFA selepas pengumuman itu dibuat pada Selasa.

Spekulasi semakin hangat diperkatakan menjelang mesyuarat itu bahawa Maradona tidak akan kekal selaku pengurus kerana percanggahan dengan AFA berhubung pemilihan kakitangan kejurulatihannya.

Ahad lalu, Maradona, 49, memberitahu dia akan kekal jika dia diberi jaminan untuk memilih kakitangan pembantunya.

Maradona dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik dunia pada era 80-an tetapi sering bergelut dengan masalah dadah, obesiti dan ketagih alkohol untuk tempoh yang lama selepas menggantung but pada 1990.

Kini, Argentina perlu mencari pengurus baru menjelang perlawanan Copa Amerika tahun depan selepas pemecatan Maradona.

Menurut laporan media tempatan, bekas Pengurus Boca Juniors, Carlos Bianchi yang mengemudi kelab Buenos Aires menjuarai saingan peringkat kebangsaan dan Eropah antara 1998 dan 2004 antara calon pilihan untuk mengisi jawatan itu.

Nama lain yang turut dikaitkan untuk menggantikan tempat Maradona adalah Pengurus Estudiantes, Alex Sabella, bekas Pengurus Independiente, Americo Gallego, bekas Pengurus Argentina, Marcelo Bielsa dan bekas penyerang River Plate, Inter Milan dan Argentina, Ramon Diaz.

Cherquis Bialo berkata tiada keputusan segera dicapai berhubung pemilihan calon pengurus baru.

"Mesyuarat pada Selasa tidak membincangkan tarikh pemilihan pengurus baru akan dilakukan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain