suria

Malaysia Mampu Menang Jika Rancang Program Teliti, Latihan Gigih

SEOUL: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin pasukan bola sepak Malaysia mampu terus meraih kemenangan jika program pencarian bakat sukan itu dirancang dengan teliti, latihan gigih dilakukan serta pemain bersemangat kental.

Beliau berkata harapan negara untuk mencipta nama di peringkat dunia terbuka luas jika semua pihak berkenaan dapat melaksanakan peranan masing-masing.

"Bukti sudah jelas. Masih ada harapan bagi pasukan bola sepak (negara) jika buat perancangan teliti, berlatih gigih, dan ada semangat kental.

"(Pemain-pemain) juga perlu diberikan galakan (untuk mencipta kemenangan)," katanya ketika menjawab soalan penuntut Malaysia di Korea Selatan semasa majlis makan malam di sini.

Beliau merujuk kepada kemenangan Skuad Bawah 23 (B-23) Malaysia yang mempamer permainan cemerlang untuk menewaskan skuad B-23 Korea Selatan 1-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad.

Muhyiddin berkata ini bukan kali pertama Malaysia mengalahkan pasukan negara bertaraf Piala Dunia itu kerana pernah berbuat demikian pada 1980an.

"Saya hairan, kita pernah mengalahkan mereka (pasukan Korea Selatan) tetapi selepas itu kita semakin menurun. Mengapa standard itu (tidak dapat dikekalkan) hingga ke (peringkat) Piala Dunia. Sehingga kini ia masih jadi perdebatan ramai," katanya.

Menjawab soalan lain, Muhyiddin berkata kerajaan tidak akan menghapuskan pemberian biasiswa untuk penuntut luar negara tetapi mengurangkannya berikutan keadaan ekonomi dunia yang turut memberi kesan kepada Malaysia.

Bagaimanapun, pemberian biasiswa untuk penuntut institusi pengajian tinggi dalam negara ditambah kerana ia tidak melibatkan kos tinggi seperti pengajian luar negara.

"Jika dalam negara ada tempat yang sesuai dan mencapai standard tinggi dan prestasi sama atau lebih baik (dengan universiti luar negara), pelajar cemerlang boleh melanjutkan pengajian dalam negara. Ia bukan sahaja memberi peluang kepada mereka tetapi turut membantu kerajaan dari segi mengawal kos perbelanjaan," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Muhyiddin menjelaskan kepada para penuntut Malaysia itu mengenai perkembangan terkini dalam negara termasuk usaha kerajaan memajukan Malaysia menerusi beberapa pendekatan baru seperti Petunjuk Prestasi Utama, Bidang Keberhasilan Utama Negara, Bidang Ekonomi Utama Negara serta perancangan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

Selain 50 penuntut Malaysia dari tujuh universiti di sini, majlis itu yang dihoskan Muhyiddin turut dihadiri isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim; Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan Datuk Ramlan Ibrahim; Anggota-anggota Parlimen iaitu Datuk Idris Harun (Tangga Batu); Datuk Dr Shahrum Osman (Lipis); P.Kamalanathan (Hulu Selangor); Hasbi Habibollah (Limbang); dan Tan Ah Heng (Gelang Patah).

Majlis itu adalah sempena lawatan rasmi empat hari beliau ke Korea Selatan bermula hari ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain