suria

Sukan Asia Keutamaan Saya, Kata Mohd Azlan

KUALA LUMPUR: Selepas menjulang gelaran Terbuka Malaysia semalam, Mohd Azlan Iskandar kini menumpukan kepada Sukan Asia di Guangzhou, China, yang akan berlangsung pada November.

"Tahun ini amat sibuk dan Sukan Asia sekali lagi menjadi keutamaan saya," kata pemain berumur 28 tahun dari Sarawak itu.

Sukan Asia buat julung kalinya menawarkan empat pingat emas dalam skuasy iaitu masing-masing dua (acara individu dan pasukan) bagi kategori lelaki dan wanita.

Mohd Azlan berkata merupakan tugas yang amat mencabar bagi atlet untuk mencapai sasaran empat pingat emas yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Saya harap jurulatih saya akan dibawa ke sini dari England oleh MSN untuk membimbing pasukan beberapa minggu sebelum Sukan Asia.

"Saya fikir itu amat penting kerana Sukan Asia akan diadakan di China, jadi kurang sesuai untuk menjalani latihan di England kerana cuacanya jauh berbeza," kata pemain di ranking ke-18 dunia oleh Persatuan Profesional Skuasy (PSA).

Mohd Azlan, yang dibimbing Peter Genevar di London, berkata dirinya mencatatkan pencapaian amat baik dalam tempoh dua minggu lepas.

Sebelum memenangi gelaran Terbuka Malaysia buat kali ketiga semalam, Mohd Azlan buat julung kalinya memenagi gelaran kebangsaan minggu lepas dan pada 8 Mei menjuarai Kejohanan Senior Asia ke-15 di Chennai, India.

"Dua minggu lepas adalah amat baik bagi diri saya, tahun ini saya meraih tiga kejuaraan...Kejohanan Senior Asia, Kejohanan Kebangsaan dan Terbuka Malaysia. Harap-harap dalam beberapa kejohanan lagi," katanya.

Beliau akan menyertai Terbuka Hong Kong bulan depan dan untuk lima minggu ini akan meneruskan latihan di Bukit Jalil.

"Saya akan meneruskan latihan untuk lima minggu akan datang di Bukit Jalil sebelum Terbuka Hong Kong. Saya tidak menyertai Terbuka Australia (8-15 Ogos) untuk membuat persediaan bagi menghadapi pertandingan itu," kata Mohd Azlan.

Terbuka Hong Kong akan berlangsung 23 hingga 29 Ogos.

"Saya rasa prestasi saya di Kejohanan Asia semakin meningkat. Saya menyertai kejohanan ini (Terbuka Malaysia) ketika sudah menjalani separuh daripada program latihan.

"Bagaimanapun, saya masih lemah dalam beberapa aspek dan saya banyak belajar daripada setiap kejohanan," kata Mohd Azlan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain